X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita bertudung, kaum India sukar dapat kerja: Kajian

Tujuh individu berkenaan yang watak mereka dilakonkan oleh dua kakitangan Cent-GPS.
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian pusat penyelidikan swasta, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) menunjukkan graduan kaum India dan perempuan bertudung antara kumpulan yang paling tertindas dalam proses pengambilan pekerja bagi sektor swasta.

Memetik laporan Astro Awani, penyelidik Cent-GPS, Zaidel Baharuddin berkata, kajian tidak dilakukan secara rambang, sebaliknya, pihaknya turut mengambil inisiatif melalui pengalaman ditindas.

Menurut beliau, dua kakitangan Cent-GPS berbangsa Melayu terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan telah diberi tugasan 'berlakon' sebagai tujuh individu lain yang mewakili jantina dan kumpulan kaum berbeza dalam resume mereka.

Bagaimanapun, katanya, kelayakan akademik, penguasaan bahasa dan pengalaman bekerja mereka setaraf dari segi kelayakan dalam tuntutan kerjaya.

Hasil kaji selidik Cent-GPS itu mendapati individu yang paling kurang dipanggil temuduga ialah lelaki India diikuti oleh lelaki Melayu, perempuan India dan perempuan Melayu bertudung.

Menurut Zaidel, dalam kajian itu, sebanyak 3,289 resume telah dihantar bermula Disember 2018 hingga Februari 2019.

Kesemua jumlah resume itu mewakili permohonan tujuh individu berkenaan yang watak mereka dilakonkan oleh dua kakitangan Cent-GPS.

"Setiap seorang (daripada tujuh individu) menghantar sebanyak 547 resume kepada pelbagai syarikat memohon pekerjaan. Kesemua resume berkenaan memaklumkan pemohon mempunyai latar belakang akademik atau lulusan perniagaan," katanya.

Zaidel berkata, kajian Cent-GPS mendapati, pemohon kaum Cina paling banyak mendapat panggilan temuduga.

Bukti itu diperoleh berdasarkan pengalaman kakitangan Cent-GPS yang berlakon sebagai seorang individu berbangsa Tionghua bernama 'Nicola Yeoh'.

Resume 'Nicola Yeoh' sangat laku sehingga dia dipanggil menghadiri temuduga sebanyak 240 kali manakala individu lelaki Cina bernama 'Gabriel Liew’ pula dipanggil 179 kali temuduga daripada 547 permohonan yang dihantar.

Bagi pemohon kaum India bernama ‘Thivakar’, dia perlu memohon sebanyak 28 kali untuk mendapat satu panggilan temuduga manakala ‘Nicola’ hanya perlu memohon dua kali untuk mendapat satu temuduga.

Selain itu, kajian Cent-GPS mendapati pemohon perempuan bertudung juga menerima nasib yang sama.

“Pemakaian hijab memainkan peranan untuk graduan wanita memohon pekerjaan,” tegasnya.

Kajian firma berkenaan mendapati perempuan Melayu bertudung hanya mendapat 50 panggilan temuduga daripada 547 pemohonan berbanding perempuan Melayu tidak bertudung yang mendapat 70 panggilan temuduga.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!