Subsidi benih padi patut diberi kepada petani bukan pengilang

Pengerusi Pesawah, Muhammad Fuad Yaacob (kanan) menunjukkan harga benih RM28 pada bungkusan benih padi kerana ia diberi subsidi kerajaan.
Pengerusi Pesawah, Muhammad Fuad Yaacob (kanan) menunjukkan harga benih RM28 pada bungkusan benih padi kerana ia diberi subsidi kerajaan.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berharap subsidi benih padi yang diterima oleh pengilang diberikan kepada petani untuk menyelesaikan masalah harga benih padi.

Pengerusi Pesawah, Muhammad Fuad Yaacob berkata, petani terpaksa membeli benih pada harga mahal apabila kilang dan peruncit menjual benih padi dengan harga melebihi RM35 iaitu sekitar RM40 hingga RM50 bagi satu beg seberat 20 kilogram (kg).

"Harga mahal ini dipercayai bermula dari kilang apabila setiap satu beg benih padi dijual pada harga melampau iaitu sekitar RM33 bagi hampir kebanyakan kilang sedangkan jelas tertera pada bungkusan beg harga jualan di pintu kilang sepatutnya RM28 kerana ia subsidi kerajaan.

"Keadaan ini menyebabkan ejen termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tidak dapat menjual pada harga berpatutan sedangkan harga jualan benih ditetapkan kepada RM35," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Besar, Kota Sarang Semut, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, harga benih padi pada musim pertama 2021 penanaman padi tidak lebih daripada RM35 namun didapati tidak terkawal hingga melebihi RM35 ketika musim kedua 2021.

"Bayangkan, pihak pengilang menerima subsidi kerajaan namun kini mengaut keuntungan melalui harga benih padi tinggi yang terpaksa ditanggung oleh petani. Masalah harga benih tinggi ini dapat diselesaikan sekiranya kerajaan memberi subsidi benih yang diperoleh oleh pihak kilang kepada petani," katanya.

Sementara itu, Exco Pesawah, Abdul Rashid Yob berkata, harga benih padi didapati tidak selari dengan harga pada bungkusan beg benih apabila ada pihak menjual antara RM35 dan mencecah RM40 untuk satu beg.

Artikel Berkaitan:

Petani mohon bantuan kerajaan selesaikan masalah kelewatan bekalan dan harga benih padi ditanggung mereka.
Petani mohon bantuan kerajaan selesaikan masalah kelewatan bekalan dan harga benih padi ditanggung mereka.

"Sebelum ini, harga ditetapkan iaitu RM35 tanpa merujuk harga ditanggung petani. Maka, kami mohon kementerian bertanggungjawab mencari jalan dan tidak lepas tangan dalam hal ini yang dibangkitkan petani setiap tahun," katanya.

Menurutnya, petani juga berdepan kenaikan kos input pertanian yang melampaui kemampuan mereka iaitu kos baja, racun rumpai dan kemungkinan besar perkhidmatan mesin padi dan traktor.

"Sebagai contoh, harga racun rumpai yang dahulunya RM40 se botol kini naik melambung hingga RM80 se botol, sekali gus menyebabkan petani menanggung kenaikan kos hingga lebih 80 peratus," katanya lagi.

Menurut Abdul Rashid, selain isu harga benih padi, sebilangan petani dibelenggu isu kelewatan bekalan benih dengan jadual penanaman padi yang tidak bersesuaian.

"Untuk aktiviti penanaman padi musim kedua 2021, jadual lewat sebulan kerana ada petani tidak dapat menabur benih disebabkan masih tidak menerima bekalan benih padi," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat berkata, pihaknya akan menyediakan platform untuk mengadakan perbincangan mengenai semua masalah dihadapi petani supaya tidak berulang.

Pengerusi Lajnah Asas Tani Pas Kedah yang juga ADUN Kuala Ketil, Mansor Zakaria pula berkata, isu yang selama ini dihadapi petani perlu diselesaikan secara baik.