Risiko PRN negeri Hang Tuah

No Image Caption
A
A
A

TEKA-teki mengenai adakah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan akhirnya terjawab. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh rakyat negeri Hang Tuah untuk membuang undi.

Sebanyak 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jadi pertaruhan dan seramai 500,000 pengundi akan menjadi rebutan parti-parti politik.

Dengan penetapan itu, PRN Melaka menjadi pilihan raya kedua diadakan di Malaysia ketika negara masih diambang perang dengan Covid-19.

Kali pertama pilihan raya negeri diadakan ialah kira-kira setahun lalu setelah berlaku perbuatan lompat melompat di kalangan ahli politik di Sabah sehingga menyebabkan pembubaran DUN negeri itu.

PRN Sabah kemudian diadakan pada 26 September 2020. Pada ketika itu, dengan kes harian Covid-19 di bawah angka 10 kes sehari, kita yakin yang kita telah 'menang' dalam pertarungan dengan virus tersebut.

Namun, ternyata ramalan tersebut meleset apabila bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri beberapa minggu selepas itu akhirnya mengakui PRN Sabah adalah penyumbang kepada peningkatan kes harian Covid-19 di Malaysia.

Hari ini dengan lebih 90 peratus orang dewasa telah divaksin, kita juga yakin yang kita telah 'menang' dalam pertarungan ini.

Benar situasi setahun lalu dan hari ini berbeza dengan adanya vaksin. Namun, kita jangan lupa vaksin bukanlah penoktah total kepada penularan dan kematian akibat virus Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Walaupun akan ada yang menyatakan SOP yang ketat akan dikuatkuasakan, kita harus belajar daripada PRN Sabah. Bila beribu-ribu orang berkumpul dan bersesak, SOP ketat pun akhirnya ke laut.

Bagaimanapun, kita lupa pokok pangkal kepada pembubaran itu adalah akibat kerakusan dan perbuatan ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

Mereka tidak menghormati keputusan rakyat dan akhirnya membuat percaturan sendiri baik di peringkat Persekutuan dan peringkat negeri.

Akhirnya kini konon didakwa mahu kembali memberi 'kuasa' kepada rakyat sebagai penentu. Persoalannya, berbaloikah pilihan raya-pilihan raya akibat perbuatan ahli politik 'katak' ini?

PRN Sabah sahaja contohnya menelan belanja RM130 juta. Bayangkan berapa banyak jalan raya boleh diturap dengan RM130 juta, berapa banyak sekolah boleh dibina dengan RM130 juta dan berapa banyak perut lapar yang boleh diisi dengan RM130 juta?

Malah, persoalannya kini dengan ada individu belum cukup lengkap vaksin atau lebih teruk tergolong dalam golongan antivaksin apakah status mereka?

Jika antivaksin dihalang merentas negeri, tidak dibenarkan dine-in, adakah mereka boleh membuang undi?