X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021
Jailani Sidek
A
A

RENTAK tidak konsisten merupakan antara penyebab jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal menyerlah pada Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark baru-baru ini.

Legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, faktor itu menjadi punca utama Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik gagal menyumbang mata penting ketika aksi terakhir Kumpulan D menentang Jepun dan saingan suku akhir berdepan Indonesia.

Malah, Jalani memahami kekecewaaan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria susulan aksi tidak konsisten ketiga-tiga pemain harapan negara itu.

“Saya setuju dengan apa yang Tan Sri Norza katakan. Sebabnya apa yang saya lihat ketahanan pemain kita memang tidak berada pada tahap terbaik. Kita kena ingat walaupun masuk suku akhir, kita mendapat laluan mudah hanya menang dengan Kanada.

“Namun, dari segi ketahanan mental dan fizikal, pemain negara tak konsisten daripada Piala Sudirman ke Piala Thomas. Kita nampak graf itu turun dan kalau saya sebagai Presiden (BAM) pun ingin tahu kenapa.

“Sebagai contoh, pasukan Indonesia saya lihat mereka pun bukan bagus sangat. Tengok pemain perseorangan Indonesia seperti Jonatan Christie dan Anthony Sinisuka Ginting, mereka juga ada turun naik. Tetapi, kalau diuji betul-betul kita akan nampak kualiti dan ketahanan yang tinggi ada pada mereka.

“Saya menjangkakan Zii Jia tak ada masalah untuk menang dengan Ginting (pada aksi suku akhir). Tetapi, sebaliknya berlaku kerana jelas dari sudut ketahanan itu sangat berbeza antara kedua-dua pemain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Skuad negara mengakhiri saingan Piala Thomas di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Indonesia 0-3, sekali gus meneruskan kemarau 29 tahun untuk menjulang piala berprestij tersebut.

Persembahan wakil utama negara - Zii Jia dan gandingan Aaron-Wooi Yik menjadi perhatian sehingga mengundang kekecewaan Mohammad Norza walaupun mereka pernah menewaskan pemain sama pada Piala Sudirman sebelum itu.

Dalam pada itu, Jalani turut menegaskan alasan tekanan dalam setiap perlawanan tidak boleh diterima kerana dalam setiap pertandingan membabitkan pasukan ia adalah perkara biasa.

“Tekanan itu tetap ada dan ia perkara biasa. Dalam kejohanan berpasukan, kalau seorang kalah, seorang lagi kena bangkit balik. Apa yang penting kita kena cari kenapa mereka tidak konsisten. Untuk bermain dalam Piala Thomas kena ada fizikal yang bagus dan mental yang kuat.

“Kita kena kembali ke drawing board dan lihat apa kelemahan kita dan cuba mengatasinya. Selain itu, pemain dan barisan jurulatih perlu mengkaji lebih lagi siapa lawan kita untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!