Tabung Wakaf Masjid Hijau dilancar biayai penerapan teknologi hijau

Idris ketika berucap secara maya pada Majlis Pra-Pelancaran Wakaf Masjid Hijau di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dubai 2020 di UAE pada Isnin.
Idris ketika berucap secara maya pada Majlis Pra-Pelancaran Wakaf Masjid Hijau di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dubai 2020 di UAE pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tabung Wakaf Masjid Hijau dilancarkan untuk pembiayaan penerapan teknologi hijau di masjid negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Menurutnya yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), inisiatif itu dilakukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) dengan kerjasama YWM seiring dengan inisiatif Wakaf Masjid Hijau.

"Dalam konteks kerjasama ini, saya lihat pelaksanaan Tabung Wakaf Masjid Hijau ini dapat membantu membiayai projek atau aktiviti pembangunan masjid-masjid berteknologi hijau di Malaysia yang akhirnya mampu mewujudkan nilai tambah terhadap aset wakaf sedia ada.

"Dari segi pengurusan dana wakaf, YWM berperanan sebagai pengurus Tabung Wakaf Masjid Hijau dan akan turut mengembangkan dana wakaf ini melalui pelaburan," katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap secara maya pada Majlis Pra-Pelancaran Wakaf Masjid Hijau di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dubai 2020 yang diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin.

Majlis itu dirasmikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Idris berkata, sebahagian dana wakaf terkumpul akan dilaburkan untuk manfaat jangka panjang dan hasil pulangan itu akan diagihkan dalam bentuk agihan manfaat pelaburan.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan dana itu, katanya, ia akan diagihkan untuk membiayai projek-projek yang telah disenaraikan layak dan menepati syarat penggunaan sumber dana dari tabung wakaf ini.

Artikel Berkaitan:

Ia seperti penukaran kepada lampu light-emitting diode (LED), penukaran kepada kipas atau alat pendingin udara yang cekap tenaga dan pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di masjid.

"Bagi tujuan ini juga, setiap permohonan dana oleh masjid perlulah melalui majlis agama Islam negeri masing-masing," katanya.

Oleh itu, katanya, pihak masjid perlu memberikan komitmen untuk melaksanakan inisiatif hijau dengan membuka tabung di masjid dan menggalakkan sumbangan ahli kariah kepada tabung tersebut.

Katanya, masyarakat juga tidak perlu bimbang dengan penggunaan dana Tabung Wakaf Masjid Hijau kerana ia akan ditadbir oleh dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu serta Jawatankuasa Teknikal Penilaian dan Agihan sebelum sesuatu agihan itu dibuat.