MoU teknologi hijau jana nilai perniagaan RM3 bilion

Tuan Ibrahim (tengah) menyaksikan MoU yang dimeterai dalam bidang pembangunan teknologi hijau dan bandar rendah karbon.
Tuan Ibrahim (tengah) menyaksikan MoU yang dimeterai dalam bidang pembangunan teknologi hijau dan bandar rendah karbon.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua memorandum persefahaman (MoU) yang akan menjana nilai perniagaan sebanyak RM3 bilion dalam bidang pembangunan teknologi hijau dan bandar rendah karbon di rantau Asia dimeterai, pada Isnin.

MoU itu dimeterai antara syarikat Malaysia, IBN Development Berhad dengan Ahjam Sazeh Private Limited dan IBN Development dengan Gima Group Inc.

Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang diadakan sempena Majlis Pelancaran Minggu KASA di Pavillion Malaysia Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tuan Ibrahim dalam ucapannya berkata, KASA berbangga dengan kejayaan berkenaan dan memberikan jaminan, kerajaan akan memainkan peranan lebih proaktif dan bersedia untuk mengagendakan pelan dan strategi negara dalam menangani perubahan iklim serta membangun model ekonomi hijau.

“Penyertaan KASA di Ekspo 2020 Dubai ini adalah sebahagian daripada manifestasi Kerajaan Malaysia untuk berinteraksi dengan semua pemegang taruh dalam agenda perubahan iklim negara.

“Pelbagai program akan dilaksanakan di Pavillion Malaysia bersama pemegang taruh, agensi kerajaan dan syarikat swasta dari Malaysia. Kita akan mempamer tawaran servis, produk termasuk projek-projek pembangunan yang berkonsepkan ‘resilient Malaysia’.

“Selain itu, beberapa slot perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam menangani cabaran perubahan iklim akan dianjurkan melalui program webinar, 'pocket talk' bersama Jabatan Landskap Negara, Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), Petronas, Urbanice dan Solar City,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Minggu KASA di Pavillion Malaysia Expo 2020 Dubai, UAE anjuran KASA bersama Malaysia Green Technology and Climate Change Center (MGTC) yang disiarkan secara langsung secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Forum Climate Change Conversations bersama ahli panel terkemuka dari Malaysia dan luar negara juga akan diadakan pada 25 Oktober depan di Terra Auditorium, Expo 2020 Dubai.

Di samping itu, mesyuarat bilateral dan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) turut diadakan dengan melibatkan potensi pelaburan berjumlah RM152 juta.

“Pada 1 November nanti, sesi Climate Change Coversation on Sustainable Cities akan diadakan dengan penyertaan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai wakil Malaysia bersama wakil daripada Masdar City dan Sweden.

“Setiap panelis akan membincangkan usaha dan sasaran negara ke arah bandar mampan. Sesi padanan perniagaan turut diadakan untuk merajah kerjasama antara syarikat Malaysia dan antarabangsa yang mengambil bahagian.

“Sebanyak 20 organisasi akan menyertai ekspo bagi minggu kelima nanti dengan sasaran pelaburan langsung asing sebanyak RM500 juta petunjuk perniagaan. Selain itu, satu perbincangan dua hala akan dianjurkan dan satu memorandum persefahaman akan dimeterai antara syarikat Malaysia dan antarabangsa,” jelasnya.