X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Bekas CEO didenda RM145,000 terima suapan

Wing Shing (tengah) didenda RM145,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua tuduhan pilihan menerima suapan daripada dua individu berbeza pada Julai 2019 dan Januari tahun lalu.
A
A

KUANTAN - Seorang bekas pengarah urusan syarikat (CEO) didenda RM145,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua tuduhan pilihan menerima suapan daripada dua individu berbeza pada Julai 2019 dan Januari tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan tertuduh yang juga warga Singapura, Cheung Wing Shing, 60, menjalani hukuman penjara 16 bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, Wing Shing menerima suapan berjumlah RM26,850 daripada seorang pengurus syarikat melalui pindahan wang atas talian pada 23 Julai 2019 ke akaun syarikat miliknya.

Suapan itu sebagai balasan kepada tertuduh kerana melantik syarikat berkenaan sebagai kontraktor projek pembekalan peralatan dapur di sebuah restoran bernilai RM2 juta yang mana tertuduh mempunyai akses kepada proses pemilihan kontraktor untuk kerja terbabit.

Bagi pertuduhan pilihan kedua pula, tertuduh mengaku menerima suapan berjumlah RM7,000 melalui pindahan wang atas talian pada 14 Januari 2020 daripada seorang pengarah syarikat bagi pembayaran kerugian perjudian.

Untuk kedua pertuduhan pilihan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) Akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Sebelum itu, peguam Datuk Joshua Kevin merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman berat kerana anak guamnya memberi kerjasama kepada SPRM selain mengaku bersalah pada kali pertama dihadapkan ke mahkamah.

"Kami mohon denda yang dikenakan tidak terlalu tinggi kerana pendapatan tertuduh turut terkesan sejak pandemik Covid-19.

"Anak guam saya juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ini yang merupakan kesalahan kali pertamanya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh membayar denda tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!