60 pesakit kanser terima suntikan dos tambahan vaksin Covid-19

Pesakit kanser, Aldrin Henry Serub, 51, memegang playkad selepas menerima suntikan dos tambahan vaksin jenis Pfizer-BioNTech ketika tinjauan Bernama di Institut Kanser Negara hari ini. - Foto Bernama
Pesakit kanser, Aldrin Henry Serub, 51, memegang playkad selepas menerima suntikan dos tambahan vaksin jenis Pfizer-BioNTech ketika tinjauan Bernama di Institut Kanser Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 60 pesakit kanser yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19, hari ini mendapat suntikan dos tambahan vaksin berkenaan di Institut Kanser Negara (IKN) di sini.

Timbalan Pengarah Perubatan 1 IKN, Dr Puteri Norliza Megat Ramli berkata, kumpulan itu adalah pesakit kanser yang sedang mendapatkan rawatan di institut itu dan dipilih mendapatkan suntikan ketiga kerana mempunyai imuniti yang rendah.

“Pemberian dos ketiga atau tambahan ini bagi mengelakkan mereka daripada terkena jangkitan atau mengalami komplikasi teruk jika dijangkiti Covid-19.

"Kami akan kenal pasti lagi pesakit kanser yang akan diberikan suntikan,” katanya kepada Bernama ketika meninjau perjalanan proses pemberian suntikan dos tambahan itu.

Menurutnya, dos tambahan berkenaan diberikan selepas 28 hari penerimaan dos lengkap vaksin Covid-19, manakala dos penggalak (booster dose) adalah untuk warga emas dan anggota barisan hadapan yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lepas.

Setakat ini, katanya IKN hanya diberikan tanggungjawab memberikan dos tambahan kepada pesakit kanser, yang hari ini kesemuanya menerima suntikan ketiga jenis vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

Berkongsi pengalaman selepas menerima suntikan itu, seorang pesakit Aldrin Henry Serub, 51, berkata beliau sememangnya ingin menerima dos tambahan vaksin kerana penting untuk mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19.

“Apabila terima panggilan daripada IKN pada Rabu lepas, saya terus sahkan akan hadir untuk terima suntikan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai pesakit kanser, saya telah lengkap divaksin tapi masih perlukan suntikan ketiga bagi mendapatkan perlindungan sepenuhnya daripada wabak tersebut.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan (suntikan ketiga) kerana saya juga masih hidup selepas terima dua dos vaksin, ini adalah untuk kebaikan,” katanya yang tidak mengalami kesan sampingan serius selepas menerima suntikan dos ketiga itu.

Norashikin San Abdullah berkata, beliau mengambil keputusan menerima suntikan ketiga vaksin bagi mendapatkan perlindungan daripada jangkitan Covid-19.

“Saya tidak mengalami sebarang kesan sampingan serius. Saya rasa semua perlu ambil suntikan ketiga vaksin untuk lindungi diri daripada penyakit ini,” kata warga emas berusia 68 tahun itu.

Sementara itu, Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan IKN, Dr Melvyn Chin Yin Chung berkata, pemberian suntikan ketiga vaksin adalah secara sukarela dan penerima perlu menandatangani borang persetujuan penerimaan yang baharu sebelum suntikan.

“Penerima vaksin akan diberikan kad fizikal bagi mengesahkan mereka telah menerima suntikan,” katanya menambah, IKN akan memantau tahap kesihatan pesakit yang menerima dos tambahan itu.

Pada Rabu lepas, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia akan memulakan dos penggalak vaksin Covid-19 bagi warga emas dan anggota barisan hadapan yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lepas.

Beliau turut memaklumkan yang pemberian dos tambahan pula akan diberikan kepada individu yang mempunyai imuniti rendah seperti pesakit kanser, penerima organ dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lepas sebagai antara langkah mengawal pandemik Covid-19.

Kadar populasi dewasa di Malaysia yang lengkap menerima vaksin Covid-19 kini mencapai 91.2 peratus atau 21,355,550. - Bernama