Kambing 'kayangan' cetus fenomena baharu di Kelantan

Mohd Azwan (kiri) bersama pembantunya menunjukkan ibu kambing yang dijadikan sebagai induk dibeli pada harga RM30,000 seekor.
Mohd Azwan (kiri) bersama pembantunya menunjukkan ibu kambing yang dijadikan sebagai induk dibeli pada harga RM30,000 seekor.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang pemuda dari Kampung Akil Chicha Tinggi di sini mencetuskan fenomena baharu di negeri ini apabila menternak kambing 'kayangan' dari baka Red Boer Amerika yang bernilai puluhan ribu ringgit setiap seekor.

Mohd Azwan Harun, 34, berkata, sebagai permulaan dia membela empat ekor kambing baka berkenaan yang dianggarkan bernilai RM95,000.

"Idea untuk membela kambing baka itu timbul kerana saya tertarik dengan fizikal dan gaya haiwan berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Mohd Azwan atau lebih dikenali sebagai Niq Agro Farm turut berhasrat menjadikan kambing itu bagi tujuan pembakaan kerana baka tersebut masih belum popular dalam kalangan masyarakat di sini berbanding baka import lain seperti Kalahari.

Katanya, percubaan itu berbaloi apabila ibu kambing tersebut sudah mulai bunting dan dijangka melahirkan anak awal tahun depan.

Mohd Azwan menunjukkan salah seekor kambing jenis Red Boer Amerika yang dibelanya.
Mohd Azwan menunjukkan salah seekor kambing jenis Red Boer Amerika yang dibelanya.

Mohd Azwan memberitahu, sejak dia mendedahkan usahanya itu kepada umum ramai yang mula berminat dengan baka berkenaan.

"Jadi saya akan usahakannya dengan sebaik mungkin bagi memastikan lebih banyak baka dapat dihasilkan.

Artikel Berkaitan:

"Penjagaan Red Boer Amerika tidak begitu rumit seperti baka lain. Setiap hari kambing ini makan rumput dari jenis minyak atau napier dan dedak serta garam bukit," katanya.

Menurutnya, ibu kambing yang dijadikan sebagai induk dibeli pada harga RM30,000 seekor sementara kambing jantan RM25,000.

Dia berkata, dua ekor anak kambing jenis baka tersebut turut dibeli dengan harga RM20,000 setiap seekor.