[VIDEO] Fadzli MB, Nassuruddin TMB baharu Kelantan?

Mohamed Fadzli (kiri), Mohd Nassuruddin
Mohamed Fadzli (kiri), Mohd Nassuruddin
A
A
A

KOTA BHARU - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi bayangan Menteri Besar (MB) dan Timbalan Menteri Besar (TMB) baharu Kelantan ialah gabungan baharu, bukannya yang lama serta berusia 50-an.

Melihat kepada kenyataan itu antara calon yang dilihat layak untuk mengisi jawatan berkenaan ialah Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Temangan) berusia 55 tahun dan Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Meranti), 58, manakala Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah (Panchor) sudah berusia 68 tahun.

Takiyuddin berkata, ada dua nama yang akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Isnin bagi mendapat perkenan.

"Mereka merupakan gabungan agamawan dan tokoh teknokrat serta boleh jadi Exco sebelum ini.

"Hendak jadi MB, TMB mesti rakyat Kelantan," katanya semasa sidang akhbar pada malam Ahad.

Sebelum itu beliau hadir ke mesyuarat Pas Pusat bersama kepimpinan Pas negeri Kelantan bagi membincangkan proses pelantikan MB, TMB serta Exco kerajaan negeri di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10, di sini yang turut dihadiri oleh Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ujar Ahli Parlimen Kota Bharu itu, mesyuarat tersebut telah selesai memilih siapa calon menteri besar dan ia dipersetujui Pas Kelantan.

Kata beliau, konteks di Kelantan lain dari negeri lain kerana jawatan timbalan menteri besar yang tertulis dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh, di Pulau Pinang tiada dalam perlembagaan namun jawatan tersebut telah dicipta.

"Bila MB dilantik... MB akan bawa 10 nama kepada Tuanku Sultan untuk dilantik sebagai Exco. Jadi di Kelantan, TMB akan dilantik dalam kalangan salah seorang Exco itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin memberitahu, apa yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Perkara 16 yang menyatakan bahawa ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Kelantan terlebih dahulu melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada pandangan Baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Beliau berkata, itu kuasa mutlak Tuanku Sultan yang tidak memerlukan apa-apa nasihat daripada mana-mana pihak.

Ujarnya, apa yang dibuat oleh parti ialah mengangkat nama pada pandangan mereka yakin dan sesuai untuk Tuanku Sultan lantik sebagai menteri besar.

"Jadi esok (Isnin) sebagaimana kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob tadi, beliau sendiri akan angkat nama itu kepada Tuanku Sultan.

"Saya difahamkan majlis angkat sumpah telah ditetapkan pada Selasa jam 3 petang dan proses kita ini berjalan dengan lancar," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan bakal mendapat Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya Pas dah Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negeri itu dalam PRN.

Takiyuddin berkata, pihaknya memutuskan perubahan kedudukan dua jawatan itu dengan mengemukakan gabungan kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.

Terdahulu, Ahmad mengesahkan masalah kesihatan yang dialami menjadi sebab utama beliau menolak untuk kekal sebagai Menteri Besar jika parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ahmad berkata, masalah kesihatan itu melibatkan ‘slip dics’ selepas dua kali terjatuh sebelum ini selain jantung.