5,268 penuntut UMS kembali semula ke kampus

Taufiq meninjau pelaksanaan pendaftaran kemasukan semula pelajar ke kampus utama UMS di Kota Kinabalu.
Taufiq meninjau pelaksanaan pendaftaran kemasukan semula pelajar ke kampus utama UMS di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 5,268 penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan kembali semula ke kampus masing-masing secara berperingkat bagi meneruskan sesi pengajian di universiti berkenaan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, semua penuntut berkenaan akan kembali semula ke tiga kampus utama UMS iaitu di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan.

"Kemasukan semula ini membabitkan 4,847 pelajar di kampus utama Kota Kinabalu manakala 219 pelajar di Labuan dan 202 pelajar di Sandakan.

"Bagi fasa pertama yang bermula hari ini (Jumaat) sehingga 31 Oktober ini seramai 4,847 pelajar yang akan kembali semula ke kampus secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses kemasukan pelajar semester 1 sesi 2021/2022 di UMS pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemasukan pelajar melibatkan enam kategori seperti yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan memberi keutamaan kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti makmal dan fizikal.

"Kategori seterusnya melibatkan pelajar yang memerlukan kemudahan di kampus termasuk kemudahan Wifi atau persekitaran yang kurang kondusif di rumah. Pelajar-pelajar ini kita benarkan mereka kembali ke kampus," katanya.

Diminta mengulas lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) kemasukan semula pelajar, Taufiq berkata, kesemua pelajar harus menjalani ujian calitan dan mesti lengkap dua dos vaksin untuk masuk ke UMS.

"Kita mengenakan swab test dan asingkan pelajar dalam tempoh tertentu agar mereka bebas jangkitan Covid-19 sebelum masuk semula ke asrama pelajar. Ini bagi mengelakkan berlakunya penularan dalam kalangan mereka (pelajar).

Artikel Berkaitan:

"Syarat utama oleh kementerian juga, pelajar mestilah divaksinasi lengkap dua dos dan melepasi tempoh matang 14 hari, jika tidak, kita tak benarkan mereka masuk," katanya.