Malaysia waspada helah Jepun

Zii Jia menjadi taruhan untuk menyumbang mata pertama Malaysia ketika menentang Jepun di Ceres Arena pada Khamis.
Zii Jia menjadi taruhan untuk menyumbang mata pertama Malaysia ketika menentang Jepun di Ceres Arena pada Khamis.
A
A
A

JAGUH perseorangan, Lee Zii Jia dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sememangnya disandarkan harapan untuk menyumbang mata buat skuad badminton lelaki negara pada kempen Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark.

Mereka berjaya membuktikannya dalam tugasan pertama ketika membantu Malaysia membenam Kanada 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Ceres Arena pada awal pagi Rabu.

Bagaimanapun, Aaron dan Wooi Yik 'dipisahkan' pada pertemuan menentang Kanada itu yang menyaksikan mereka masing-masing bergandingan bersama Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani.

Sama ada ia sekadar satu percaturan taktikal atau perubahan baharu, keputusan barisan kejurulatihan negara tampak berhasil apabila kedua-dua gandingan beregu negara itu menjalankan tugas mereka dengan baik.

Menjelang pertemuan menentang Jepun pada Khamis yang dianggap penentu juara Kumpulan D, timbul persoalan sama ada gandingan sama akan dikekalkan atau Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Nur Izzuddin kembali 'disatukan'.

Bagi bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim, beliau berpandangan gandingan Sze Fei-Nur Izzuddin mampu menjadi penyumbang mata buat Malaysia jika mereka digandingkan semula.

“Jika Zii Jia dan Aaron Chia serta Wooi Yik dapat memastikan dua mata, saya lihat mungkin gandingan Sze Fei dan Nur Izzuddin akan mencuri mata daripada pasukan Jepun yang akan menjadi mata kemenangan Malaysia.

“Kalau kita tengok pasukan Jepun, beregu utama mereka (Keigo Sonoda-Takeshi Kamura) dah bersara. Jadi sekarang ini kalau tak silap saya beregu ketiga Jepun jadi beregu pertama mereka iaitu gandingan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Artikel Berkaitan:

“Beregu kedua saya tidak pasti siapa yang akan digandingkan. Mungkin beregu yang kurang ternama dan berada di ranking yang lebih rendah. Sebab itu saya merasakan Sze Fei dan Nur Izzuddin ada peluang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Dalam masa sama, Roslin mengingatkan barisan pemain muda negara perlu berhati-hati apabila turun ke gelanggang memandangkan Jepun mempunyai pelbagai 'tipu helah'.

“Kita tengok Aaron dan Wooi Yik kalah ketika menentang Hoki-Kobayashi dalam pertemuan terakhir mereka (pada Piala Sudirman di Finland). Zii Jia pula menang pertemuan terakhir dengan Kento Momota juga dalam Piala Sudirman.

“Tetapi sebelum itu, Zii Jia dah kalah kepada Momota dalam aksi peringkat kumpulan. Bagi saya, pertemuan sebegini memang sukar untuk dijangka. Nak mengandaikan kemenangan Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik pun susah.

“Kita juga tak tahu macam mana keadaan semua pemain. Malah, ketika Jepun jumpa Kanada dalam perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, Momota tak main. Jadi susah nak jangka apa taktikal yang akan digunakan Jepun nanti,” ujarnya.