Pelancong masuk Melaka terima kit cegah Covid-19

Muhammad Jailani (kanan) menunjukkan plakad Rindu Melaka sebagai tarikan pelancong domestik ke negeri itu susulan kebenaran rentas negeri.
Muhammad Jailani (kanan) menunjukkan plakad Rindu Melaka sebagai tarikan pelancong domestik ke negeri itu susulan kebenaran rentas negeri.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan menyediakan 1,000 kit cegah Covid-19 sebagai cenderahati kepada pelancong yang memasuki plaza tol dan Melaka Sentral Jumaat ini.

Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, hadiah khas itu bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahad lalu.

Menurutnya, program yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada jam 3 petang di Plaza Tol Ayer Keroh itu turut diadakan serentak di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah dan Plaza Tol Lipat Kajang Jasin.

"Sambutan pelancong juga akan diserikan dengan persembahan artis budaya daripada Briged Seni Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka dan Institut Seni Warisan Negeri Melaka (INSWA).

"Pada hari sama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) juga akan mengadakan persembahan bermula jam 9 malam di sepanjang Sungai Melaka," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat BPP di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga berhasrat mengaktifkan semula Kempen Promosi Melaka Visit Melaka 3.0 yang membabitkan diskaun sehingga 60 peratus di 24 buah lokasi pelancongan tahun ini.

Menurutnya, selain itu BPP turut memperhebatkan kerjasama dengan Persatuan Agen Kembara Pelancongan (MATTA) Melaka Chapter serta kesemua pemain industri untuk menjual pakej pelancongan khas sempena rentas negeri dengan menampilkan pelbagai elemen pelancongan berdasarkan kepada 14 Sub-Sektor Pelancongan Negeri.

"Bagaimanapun kita mengingatkan orang ramai sentiasa memainkan peranan dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: