Peniaga 'online' hidup mewah hasil jual dadah

Antara kenderaan mewah yang dirampas hasil serbuan di sebuah kediaman Kampung Paya Gucil, Bukit Tok Beng, Gong Badak di sini, jam 8.30 malam pada Selasa. FOTO: Ihsan PDRM
Antara kenderaan mewah yang dirampas hasil serbuan di sebuah kediaman Kampung Paya Gucil, Bukit Tok Beng, Gong Badak di sini, jam 8.30 malam pada Selasa. FOTO: Ihsan PDRM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang peniaga dalam talian (online) yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar Terengganu dan Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintenden Tium Ming Kung berkata, suspek ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman di Kampung Paya Gucil, Bukit Tok Beng, Gong Badak di sini, jam 8.30 malam pada Selasa.

"Dalam serbuan itu polis menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan peniaga 'online' berusia 43 tahun dan telah berkahwin. Suspek dipercayai telah melakukan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu.

"Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan menemukan dadah jenis heroin dianggarkan seberat 28 gram (gram) dan dadah ini dipercayai untuk dijual di sekitar Terengganu dan Kelantan, " katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Wang tunai dan kunci kenderaan yang turut dirampas. FOTO: Ihsan PDRM
Wang tunai dan kunci kenderaan yang turut dirampas. FOTO: Ihsan PDRM

Beliau berkata, polis turut menyita enam kenderaan, empat jenis barang kemas dan sejumlah wang tunai RM27,400.00 dipercayai hasil jualan dadah.

"Antara kenderaan yang di sita ialah Toyota Vellfire, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi, empat motosikal jenis Kawasaki Z800, Yamaha Y15 ZR serta dua motosikal Yamaha RXZ dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM381,900," katanya.

Empat buah motosikal yang dirampas dan disita. - FOTO: Ihsan PDRM
Empat buah motosikal yang dirampas dan disita. - FOTO: Ihsan PDRM

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan ujian saringan urin suspek didapati negatif dan suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, semua harta yang disita akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta).

"PDRM bukan sahaja akan menyiasat kes-kes berkaitan pengedaran dan memiliki dadah, malah kesemua harta-harta yang diperolehi secara haram dari sumber kegiatan dadah juga akan disiasat dan dilucuthak, " jelasnya.