Bekas penyanyi menyesal, hidup sia-sia kerana dadah

Penghuni wanita Penjara Pokok Sena membuat persembahan pada program Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Pokok Sena pada Isnin.
Penghuni wanita Penjara Pokok Sena membuat persembahan pada program Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Pokok Sena pada Isnin.
A
A
A

POKOK SENA - Seorang bekas penyanyi wanita sambilan kesal atas kesalahannya memasukkan dadah ke dalam badannya berulang kali menyebabkan dia terpaksa menjalani hukuman penjara lima tahun selepas bersalah di bawah Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Penghuni Penjara Pokok Sena yang dikenali Maria, 29, berkata, tempoh hukuman penjara yang panjang dijatuhkan ke atas dirinya telah memberikan keinsafan mendalam kerana masa mudanya terpaksa dihabiskan di dalam penjara.

Dia yang berasal dari Perak, berazam untuk mengejar impian untuk bergelar menjadi seorang penyanyi dalam industri sebenar selepas dibebaskan pada September tahun hadapan.

"Ini kali ketiga saya menjalani hukuman penjara kerana melakukan jenayah di bawah kesalahan dadah.

“Kesalahan pertama dan kedua masing-masing saya dipenjarakan selama empat bulan tetapi yang ketiga ini saya telah dijatuhkan hukuman lima tahun kerana kesalahan dadah yang berulang dengan memasukkan dadah ke dalam badan.

"Kali ini saya berasa 'sakit' kerana terpaksa berpisah lama dengan keluarga dan saya juga merasakan seperti mensia-siakan hidup saya sendiri di atas kecuaian dan keseronokan sementara yang dicari oleh saya sebelum ini," katanya semasa ditemui pada program Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Pokok Sena, dekat sini pada Isnin.

Maria adalah antara 15 banduan bertuah yang terpilih dibenarkan bertemu orang tersayang pada program sambutan hari raya dan keceriaan terpancar di wajahnya selama tempoh tiga jam pertemuan berkenaan.

Dia yang turut menjayakan program tersebut dengan mempersembahkan beberapa lagu berkata, detik tersebut dianggap terindah buat dirinya kerana dapat bersua dan memeluk kedua ibu bapanya.

Maria (kanan) menyerahkan sejambak bunga kepada ibu (tengah) dan bapanya (kiri) semasa menyanyikan sebuah lagu pada program Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Pokok Sena pada Isnin.
Maria (kanan) menyerahkan sejambak bunga kepada ibu (tengah) dan bapanya (kiri) semasa menyanyikan sebuah lagu pada program Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Pokok Sena pada Isnin.

"Saya sangat merindui ibu saya, saya berjanji padanya selepas saya keluar, saya akan menjadi orang yang lebih baik, saya akan membuatkan ibu paling bahagia dengan kejayaan yang saya mahu buktikan," ujarnya yang mengakui telah terjebak dengan dadah jenis ekstasi sejak berusia 19 tahun.

Maria turut menasihatkan semua anak muda agar tidak muda terpengaruh dengan pujukan rakan sebaya untuk mencuba dadah dan alkohol kerana pada akhirnya bakal mensia-siakan hidup mereka sendiri.

Perasaan sama dikongsi oleh penghuni penjara lelaki dikenali Wan yang telah meringkuk di penjara sejak 11 tahun lalu akibat kesalahan mengedar dadah jenis heroin sebanyak dua kilogram pada tahun 2012 di Kulim, Kedah.

Menurutnya, kerinduan dapat dilepaskan kepada ibunya yang berusia 78 tahun yang datang daripada Sik, Kedah dan dia mengambil kesempatan memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

"Ini kali pertama saya mendapat ruang beraya dengan ibu dan ahli keluarga lain selepas 11 tahun dipenjarakan. Saya sangat gembira dan ibu berpesan kepada saya agar jangan tinggalkan solat," katanya yang pernah mengusahakan sebuah restoran makanan.

Sementara itu, Pengarah Penjara negeri Kedah, Abdul Kadir Jailani Ismail ketika ditemui berkata, program Jalinan Kasih Aidilfitri adalah salah satu cara untuk memberikan peluang kepada banduan untuk meraikan detik istimewa bersama keluarga tersayang.

Menurutnya, ruang yang diberikan juga menjadi medan kepada banduan untuk lebih bermotivasi untuk mengubah diri menjadi insan yang lebih baik.

"Saya harap daripada program sebegini kita boleh mula mengubah persepsi orang ramai terhadap banduan bahawa mereka juga manusia.

“Semoga banduan turut menghargai detik-detik ini bersama keluarga tersayang dan bermotivasi untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik,” katanya.