Malaysia raih pingat perak dalam Attack Online 2

Pasukan E-Sukan negara berjaya merangkul pingat perak selepas tewas kepada pasukan tuan rumah Kemboja dalam perlawanan akhir permainan 'Attack Online 2' berpasukan kumpulan pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh Kemboja di Naga World 2 pada Ahad. - Foto Bernama
Pasukan E-Sukan negara berjaya merangkul pingat perak selepas tewas kepada pasukan tuan rumah Kemboja dalam perlawanan akhir permainan 'Attack Online 2' berpasukan kumpulan pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh Kemboja di Naga World 2 pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA berjaya meraih pingat perak pertama dalam e-sukan pada Sukan SEA di sini, menerusi acara berpasukan campuran Attack Online 2 (AK2) pada Ahad.

Pasukan negara terdiri daripada lima pemain - Harriq Izzat Amirul Muhammad (Puaka); Iqbal Harun (KienKien12); Muhammad Fazrul Izwan Roslan (Saviourz); Reydza Pyar Dasha Mohd Fadilah (Zetsu) dan Shah Rullah Muadzah Sauki (Kinda) - tewas 0-3 menentang Kemboja dalam perlawanan pingat emas selama hampir satu setengah jam yang berlangsung di Naga World 2.

Pengurus pasukan kebangsaan Andrew Cheong berpuas hati dengan persembahan pasukannya hari ini kerana mereka berjaya mencapai sasaran untuk membawa pulang pingat perak daripada pemainan dalam talian paling popular di Kemboja itu.

AK2 ialah permainan video first person shooter untuk peranti mudah alih dan komputer peribadi (PC).

"Saya tidak nafikan bahawa AK2 ialah permainan dalam talian paling popular di Kemboja, namun pujian harus diberikan kepada pasukan kerana mereka mempersembahkan pertarungan yang baik menentang Kemboja dari mula sehingga tamat,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan akhir itu.

Bukan itu sahaja, Cheong yang turut dikenali sebagai "Sir Cloud” berkata, pasukan negara juga layak diberi penghargaan kerana semua pemain yang mewakili negara merupakan pekerja sepenuh masa.

"Saya sangat bangga dengan komitmen mereka terutamanya menjelang dua bulan sebelum temasya sukan ini, bukan mudah untuk mereka bergelut dengan kerja dan latihan, namun akhirnya mereka berjaya membawa pulang pingat,” katanya.

Bagi pihak pasukan, Cheong berkata beliau ingin berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara kerana memberi kebenaran untuk berlatih di Bukit Jalil, dan Majlis Olimpik Malaysia atas bantuan dan sokongan pada sukan dwitahunan itu.

Edisi Manila 2019 kekal sebagai pencapaian terbaik buat pasukan e-sukan Malaysia kerana berjaya merangkul satu-satunya pingat emas setakat ini, menerusi Yew Weng Kean dalam permainan Hearthstone dan gangsa melalui Mobile Legends: Bang Bang.

Pada Hanoi 2021, skuad negara meraih tiga gangsa dalam FIFA Online 4, Arena of Valor dan PUBG Mobile. - Bernama