Sedia mekanisme khusus elaun pelajar praktikal

Gambar kecil dari kiri: Hafizuddin, Ahmad Farhan
Gambar kecil dari kiri: Hafizuddin, Ahmad Farhan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta supaya memikirkan satu mekanisme khusus bagi memastikan pelajar universiti yang menjalani latihan praktikal khususnya di sektor swasta mendapat elaun mencukupi, sekali gus menjamin kebajikan mereka.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, ketiadaan dan kekurangan elaun itu merupakan suatu isu yang sentiasa berulang dan dibangkitkan hampir setiap tahun.

Menurut beliau, meskipun kerajaan telah menetapkan polisi meningkatkan elaun latihan industri di sektor kerajaan daripada RM300 kepada RM900, namun langkah itu masih belum diikuti sepenuhnya oleh kebanyakan syarikat swasta.

“Persoalan keperluan elaun pelajar praktikal ini perkara yang benar-benar berlaku. Kalau bekerja dari rumah rumah pun, mereka akan menggunakan internet dan gajet sendiri.

“Kadangkala beban kerja pun sama banyak dengan mereka bekerja penuh. Jadi saya tengok kerajaan perlu memikirkan satu mekanisme perundangan atau polisi jelas untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar ini.

“Ini kerana mereka tidak tertakluk di bawah akta buruh atau mana-mana akta yang spesifik. Jadi perlu ada suatu mekanisme khusus yang boleh dijadikan panduan untuk memastikan isu ini tidak berbangkit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada September 2019, kerajaan telah menguatkuasakan kenaikan kadar elaun bagi anak muda yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan daripada RM300 kepada RM900 sebulan.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, kerajaan juga perlu menyediakan pendanaan bagi memastikan pemberian elaun itu mampu ditanggung oleh sektor swasta khususnya perniagaan yang berada di bawah sektor industri kecil dan sederhana (IKS).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Wan Afiq Ikhwan berkata, kebanyakan syarikat swasta masih tidak memberikan elaun kepada pelajar yang melakukan latihan industri.

Menurutnya, ini tidak sepatutnya berlaku kerana elaun sudah menjadi suatu keperluan lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang berhadapan dengan kekangan kewangan disebabkan Covid-19.

“Ini adalah keperluan sebab ramai yang lahir dalam keluarga B40. Ketika musim Covid-19 ini juga, semua pihak sedang berhadapan dengan kesukaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan supaya melakukan kajian melibatkan syarikat swasta yang masih tidak memberikan elaun kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal.

“Jika syarikat itu tidak beri elaun, kena tunjukkan sebabnya. Kita tahu sektor swasta nak minimumkan kos dan tingkatkan keuntungan mereka. Itu objektif mereka.

“Di sini kerajaan perlu ambil inisiatif untuk mengurangkan cukai jika mereka memberi elaun kepada pelajar yang membuat latihan praktikal,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Hafizuddin Mohd Faisal berkata, meskipun ada syarikat swasta yang memberikan elaun, namun ia dilihat masih tidak menyeluruh.

Beliau berkata, elaun minimum yang diberikan sebanyak RM300 itu juga sangat tidak mencukupi untuk memenuhi tiga keperluan asas pelajar iaitu kemudahan internet, perjalanan dan makan minum.