RMK12: Senarai semula Hospital Padang Besar, lokasi baharu SK Chuping

Natthavuth Seng
Natthavuth Seng
A
A
A

KANGAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis memohon kerajaan menyenaraikan pembinaan Hospital Padang Besar dan lokasi baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping sebagai keutamaan projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua Penerangannya, Natthavuth Seng berkata, ini kerana Perlis amat memerlukan perhatian khusus terutamanya dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Natthavuth berkata, pihaknya berharap pembinaan Hospital Padang Besar yang dirancang sejak RMK9 dimasukkan semula dalam RMK12 sebagai usaha meningkatkan kemudahan kesihatan di negeri ini.

“AMK Perlis percaya kerajaan menyedari penangguhan projek membina Hospital Padang Besar yang telah dirancang dalam RMK9 lalu, namun sehingga kini hanya papan tanda yang siap. Diharap ia dapat disenaraikan semula dalam RMK12,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Natthavuth juga berharap kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap penutupan SK Chuping baru-baru ini, dengan menyatakan cadangan lokasi baharu bagi menyegerakan pembinaan sekolah berkenaan.

“Murid-murid sekolah berkenaan diarah berpindah sementara ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer, menempatkan murid sekolah rendah bersama sekolah menengah dikhuatiri boleh mendatangkan masalah sosial ekoran jurang umur terlalu jauh,” katanya lagi.

Menurutnya, perkongsian itu juga memberi kesan kepada tenaga pengajar yang perlu berkongsi fasiliti yang kekurangan di SMK Mata Ayer.

Natthavuth berkata, langkah menyegerakan dua projek berkenaan senada dengan gesaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang yang mahu kerajaan menangguhkan projek mega, dengan mengutamakan dahulu kebajikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan situasi pengangguran yang semakin meningkat selain sistem pendidikan yang tidak menentu, tiada faedah untuk projek-projek mega diteruskan pada ketika ini.

“Kerajaan perlu tumpukan kepada kebajikan rakyat kerana kehidupan rakyat kini semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat, kenaikan harga barang mentah, kadar kenaikan gaji terlalu rendah dan pelbagai lagi,” ujarnya.