Tiada kluster Covid-19 di Dewan Rakyat

Datuk Azhar Azizan Harun
Datuk Azhar Azizan Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada kluster penularan Covid-19 berlaku di dalam Dewan Rakyat sepanjang Sidang Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang berlangsung selama 17 hari.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, sejak berlangsung pada 13 September lalu sehingga berakhir pada Selasa, hanya sembilan kes Covid-19 dilaporkan dan kesemuanya berpunca daripada komuniti.

Menurutnya, keadaan itu hasil pelbagai langkah yang dilakukan untuk mengelakkan berlaku penularan pandemik tersebut.

"Persidangan kali ini diadakan dengan mengambil kira cabaran penularan kes wabak Covid-19 di negara kita.

"Pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan persidangan ini berjalan lancar termasuk mewajibkan ujian RTK-AG Saliva Test Kit secara berkala serta meningkatkan kualiti udara dalaman di semua bangunan di Parlimen," katanya ketika berucap menangguhkan sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Susulan itu, Azhar berkata, beliau dan Timbalannya, Datuk Mohd Rashid Hasnon merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya kepada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) yang diketuai Dr Noorliza Mohd Noordin.

Menurut beliau, Dr Noorliza telah memberi sepenuh komitmen dan menggerakkan langkah-langkah perlu dalam memastikan Parlimen Malaysia dan semua yang terlibat dalam persidangan itu agar sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan selamat daripada jangkitan wabak Covid-19.

"Saya turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan saya, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang sudi mempengerusikan sementara beberapa kali mesyuarat Dewan Rakyat sepanjang persidangan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sidang Dewan Rakyat itu bagaimanapun ditangguhkan ke suatu tarikh yang masih belum ditetapkan.