Pertimbang tambahan seminggu cuti sekolah akhir tahun

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dirayu agar memberikan cuti tambahan selama satu minggu untuk cuti sekolah akhir tahun yang ditetapkan selama tiga minggu sahaja.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada guru-guru seluruh Malaysia yang mahu kerajaan mempertimbangkan permintaan tersebut susulan kebenaran rentas negeri sejak Isnin.

Menurutnya, tambahan cuti berkenaan amat diperlukan kerana kebiasaannya seminggu sebelum pembukaan semula sekolah, guru-guru sudah dipanggil semula untuk tujuan persiapan.

“Dengan penambahan cuti ini guru-guru boleh pulang ke kampung halaman terutamanya yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak yang berasal dari Semenanjung, begitu juga sebaliknya.

“Mereka boleh pulang ke kampung dengan lebih selesa dan berbaloi daripada segi kos berbanding hanya terikat dengan dua minggu cuti kerana lazimnya seminggu sebelum buka sekolah mereka akan dipanggil untuk persiapan pembukaan sekolah.

“Mereka juga mempunyai masa untuk melaksanakan kuarantin kendiri sebelum bertugas secara rasmi demi memastikan guru-guru kita bersedia bertugas untuk menjamin kesihatan mereka daripada segi fizikal dan mental,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Media Bangunan Parlimen pada Selasa.

Maszlee menambah, tanggapan bahawa guru-guru sudah cukup rehat dan cuti disebabkan mereka mengajar melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak sepatutnya ditimbulkan.

“Ramai yang buat sangkaan guru-guru ini cukup cuti sebab mereka berada di rumah. Ini tidak benar kerana mereka laksanakan PdPR dan laporan..anak-anak turut terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan: