Kerajaan digesa tubuh suruhanjaya siasatan bebas siasat salah laku AIM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat salah laku pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ketua Pejuanita Pejuang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dan Ketua Biro Ekonomi Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin dalam satu kenyataan bersama berkata, aduan melibatkan tadbir urus dan salah laku pengurusan AIM telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk daripada kalangan kakitangan AIM sendiri.

Menurut mereka, isu yang diadu itu antaranya ialah urusan lantikan pengurusan tertinggi dan pengurusan AIM yang tidak telus serta lantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang dikatakan mengikut selera kumpulan tertentu sehingga gagal menentukan hala tuju sebenar AIM.

“Selain itu, salah laku dan konflik kepentingan dalam pengurusan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad, perbelanjaan boros dan pelaburan yang merugikan, penyelewengan wang simpanan Sahabat AIM serta ura-ura menswastakan AIM yang dinafikan sebelum ini,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Semenjak tahun 2018, mereka berkata, AIM didapati telah menjalankan aktiviti komersial dan pelaburan yang bertentangan dengan mandat penubuhan AIM seperti di dalam Surat Ikatan Amanah AIM di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.

Menurut mereka, temu bual dan kaji selidik yang dijalankan juga mendapati hampir semua pelaburan AIM mengalami kerugian besar.

“Dana tabung simpanan tetap daripada caruman Sahabat AIM dilaporkan tidak diketahui statusnya dan berkemungkinan telah diguna pakai untuk pelaburan yang merugikan dan perbelanjaan yang tidak sepatutnya.

“Bahkan pencarum yang ingin mengeluarkan wang dari tabung simpanan tetap juga terpaksa menunggu lebih setahun untuk pengeluaran dan ada yang masih tidak dapat membuat pengeluaran wang dari tabung simpanan tetap tersebut,” kata mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu juga, mereka berkata, setiap peminjam dikehendaki mengambil insuran perlindungan dari AIM supaya pewaris tidak dibebankan dengan hutang jika peminjam mengalami kematian atau kemalangan.

“Namun, kami difahamkan bahawa insuran itu disediakan sendiri oleh AIM dan tidak berlesen dengan Bank Negara yang boleh mengakibatkan kemungkinan tuntutan Sahabat AIM tidak dapat dipenuhi,” ujar mereka.

Dalam perkembangan sama, mereka berkata, anak syarikat AIM juga memerlukan siasatan terperinci oleh suruhanjaya siasatan bebas dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka berkata, terdapat dakwaan berhubung penjualan dan pembelian aset yang melibatkan AIM, koperasi dan AIM Sdn Bhd yang mungkin melanggar undang-undang dari segi konflik kepentingan dan urus niaga pihak yang berkepentingan.

“Justeru, segala bentuk salah guna kuasa dan juga bentuk rasuah yang berlaku di semua peringkat AIM bermula daripada peringkat pengurusan tertinggi perlu disiasat secara tuntas dan didedahkan kepada rakyat.

“Ini kerana ia melibatkan nasib dan masa depan usahawan mikro wanita yang bergelar Sahabat AIM daripada golongan B40, serta penyalahgunaan dana awam yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan dengan peruntukan melebihi RM800 juta.

“Masa depan AIM perlu dipelihara supaya lebih ramai yang akan mendapat manfaat terutamanya dalam melahirkan usahawan wanita daripada kalangan keluarga miskin dan berpendapatan rendah,” kata mereka lagi.