Selangor peruntuk RM80 juta bantu usahawan mula perniagaan

Rodziah (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan peralatan kepada Jeyakumar (kanan) pada Majlis Penyampaian Geran Peralatan SITHAM Yayasan Hijrah Selangor di sini pada Isnin.
Rodziah (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan peralatan kepada Jeyakumar (kanan) pada Majlis Penyampaian Geran Peralatan SITHAM Yayasan Hijrah Selangor di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi membantu usahawan di negeri ini untuk memulakan perniagaan pada tahun ini.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, bantuan itu bagi membantu usahawan mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

Menurutnya, ketika ini seramai 8,000 usahawan sudah dibantu dengan 2,000 daripada mereka merupakan usahawan dalam kalangan kaum India menerusi Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM).

"Inisiatif SITHAM ini diperkenalkan sejak 2019 lagi tetapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lebih dua tahun lalu banyak usaha yang dijalankan masih terganggu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran Peralatan SITHAM Yayasan Hijrah Selangor di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, kerajaan negeri turut meluluskan penambahan jumlah pinjaman maksimum kepada peserta Hijrah daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Beliau memberitahu, hanya 100 peminjam berpotensi sahaja yang layak menerima pinjaman berkenaan.

"Kita hanya menyasarkan peminjam berpotensi sahaja untuk dibantu dengan kos keseluruhan bernilai RM10 juta," jelasnya.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, penerima, A Jeyakumar merupakan seorang penternak lembu yang mengusahakan ternakan itu di sebuah tanah lapang milik Universiti Selangor (Unisel)

Artikel Berkaitan:

di Kampung Bestari Jaya.

"Jayakumar menyewa tanah tersebut daripada Unisel bagi mengusahakan ternakan lembu.

"Dia (penerima) sebelum ini ada memohon bantuan peralatan dan kerajaan Selangor telah meluluskan mesin perah susu lembu bernilai RM8,500," katanya.