X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Wanita rugi RM6,900 diperdaya ‘Sarjan Salina'

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang pekerja swasta dari Kampung Padang Paloh di sini berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM6,900 lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Wanita berusia 40-an itu mula terjerat dalam penipuan tersebut selepas menerima satu panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai Ketua Operasi Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kira-kira jam 12 tengah hari, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, mangsa menerima panggilan pertama daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai 'Puan Siti Mariam Samsudin' daripada LHDN sebelum memaklumkan mangsa mempunyai 15 bulan tunggakan cukai berjumlah keseluruhan RM38,500.90.

Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Salina Abdullah'.

"Suspek memaklumkan nama mangsa dikesan ada berdaftar atas nama sebuah syarikat di Selangor dan bakal diambil tindakan oleh mahkamah dan Bank Negara akan membuat penolakan wang daripada akaun bank milik mangsa, bila-bila masa.

"Panik dengan tuduhan itu, mangsa telah memberikan semua butir-butir akaun yang didaftarkan atas namanya kononnya sebagai proses perlindungan akaun seperti dimaklumkan suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

M Zambri berkata, bagaimanapun kira-kira jam 2 petang, mangsa mula merasa curiga sebelum mengambil keputusan menghubungi pihak bank, bertujuan membuat sekatan pada akaun bank tetapi mangsa dimaklumkan sudah berlaku dua transaksi berjumlah RM6,000 sebelum itu dan transaksi kedua berjumlah RM900.

"Terkejut dengan pemberitahuan berkenaan, mangsa terus membuat pemeriksaan akaun bank yang sudah didedahkan kepada suspek sebelum mendapati salah sebuah akaun banknya ada berlaku proses kemasukan sejumlah wang tanpa diketahui daripada puncanya.

“Dia hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang sebanyak RM6,900 telah lesap sebelum tampil membuat laporan polis pada Khamis” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, M Zambri menasihatkan orang awam supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon yang meminta maklumat perbankan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!