Wujudkan pelan, strategi lengkap sebelum sesi persekolahan bersemuka

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah perlu mewujudkan pelan atau strategi lebih jelas sebagai persediaan untuk menerima kehadiran murid pada sesi persekolahan secara bersemuka di negeri ini.

Pengarah Biro Kebajikan Pelajar, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pahang, Danial Jafri berkata, pelan yang jelas, lengkap dan teratur penting bagi membuktikan semua pihak terlibat bebar-benar telah bersedia.

Menurutnya, para guru dan kakitangan sekolah juga perlu dipastikan lengkap menerima vaksin sebelum sesi persekolahan bermula.

"Dedahkan statistik guru dan kakitangan yang masih belum divaksin lengkap dan mereka yang terlibat tidak boleh dibenarkan hadir ke sekolah supaya risiko jangkitan Covid-19 dapat diminimumkan.

"Ujian saringan Covid-19 secara berkala untuk semua murid, guru dan kakitangan sekolah perlu dilaksanakan secara berkala bagi mengesan jangkitan supaya kes-kes yang berlaku dapat diambil tindakan pada kadar segera," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Danial berkata, ujian perlu dilakukan sekerap mungkin menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang dibekalkan secara percuma atau bersubsidi.

"Pihak sekolah juga diminta menyediakan fasiliti yang lengkap dan teratur supaya SOP lebih ketat dapat dilaksanakan.

"Ia termasuk penyediaan pembersih tangan mencukupi selain menyediakan pelitup muka yang berkualiti dengan saiz yang sesuai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, SOP ketat juga perlu dilaksanakan di asrama sekolah yang bakal dibuka.

"Semua pihak perlu berganding bahu dalam memastikan kesihatan awam terutamanya murid sekolah terjaga serta mengelak wujud ’kluster sekolah’ yang boleh memberi kebimbangan yang besar kepada ibu bapa," katanya.