Harap dapatan siasatan kes Adib diumum secara terbuka

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap tempoh enam bulan ditetapkan oleh kerajaan untuk jawatankuasa khas siasatan semula kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim memperoleh dapatan kes berkenaan dipercepatkan.

Ahmad Zahid berkata, rakyat menaruh keyakinan tinggi terhadap keupayaan jawatankuasa khas yang dianggotai tiga buah kementerian dan Peguam Negara bagi merungkai kes berkenaan dengan segera.

"Selepas hampir tiga tahun berlalu akhirnya sebuah jawatankuasa khas dibarisi tiga buah kementerian ditubuhkan bagi menyiasat kematian anggota bomba, Muhammad Adib.

"Ia merupakan kejayaan awal buat rakyat yang sejak sekian lama menuntut keadilan untuk Allahyarham dan mahu pihak yang menyebabkan kematiannya dibawa ke muka pengadilan.

"Bagaimanapun, rakyat telah menunggu begitu lama untuk mendapatkan komitmen yang jelas dan tegas oleh kerajaan dalam memastikan kes kematian anggota bomba itu terbela," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan wujudkan jawatankuasa siasatan kematian Adib

Pada Sabtu, kerajaan bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan membela sewajarnya kes kematian Muhammad Adib.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang diadakan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan berharap dapatan kes itu diumumkan secara terbuka supaya rakyat dapat mengetahui perkembangan kes tersebut.

"Seperti pernah saya nyatakan kes kematian Muhammad Adib dalam insiden rusuhan pada 27 November 2018 telah menjadi suatu aspek kepentingan umum," katanya.

Artikel Berkaitan: