Kerajaan wujudkan jawatankuasa siasatan kematian Adib

Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim
Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Jumaat.

“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

“Ia juga akan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina

Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu membuktikan kerajaan komited dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus membawa pelaku kematian Adib ke muka pengadilan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.

Pada 17 Disember 2018, Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya pada 27 November 2018.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Koroner Shah Alam pada Pada 27 September 2019 memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Sepanjang prosiding inkues yang bermula pada Februari 2019 itu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, turut dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Sementara itu, pada 25 September lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika kes berkenaan berlaku, Datuk Zuraida Kamaruddin memaklumkan kes kematian tersebut ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.