Mayat lelaki ditemui terapung

Anggota Maritim Malaysia mengangkat mayat lelaki yang ditemui terapung berhampiran Jeti Swettenham, Georgetown pagi Sabtu.
Anggota Maritim Malaysia mengangkat mayat lelaki yang ditemui terapung berhampiran Jeti Swettenham, Georgetown pagi Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki yang sebelum ini dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, di sini pada malam Khamis lalu ditemui terapung pagi Sabtu.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat lelaki berusia 24 tahun itu ditemui kira-kira jam 9.30 pagi berhampiran Jeti Swettenham.

Menurutnya, Pusat Operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang telah menerima panggilan memaklumkan penemuan satu mayat terapung berhampiran jeti tersebut sebelum sebuah bot KILAT 26 digegaskan ke lokasi berkenaan.

"Anggota Maritim Malaysia yang tiba di lokasi penemuan kemudian membawa mayat terbabit ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Pihak polis mengesahkan mayat tersebut adalah individu yang terlibat dalam insiden di Jambatan Pulau Pinang seperti yang dilaporkan sebelum ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Abd Razak berkata, mayat kemudian dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 12.30 tengahari oleh Maritime Rescue Sub - Centre (MRSC) Langkawi.

Artikel Berkaitan: