Kajian menyeluruh gubal Akta Pembelaan Awam

Datuk Seri Azalina Othman Said.
Datuk Seri Azalina Othman Said.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan kajian menyeluruh berhubung penggubalan Akta Pembelaan Awam untuk memperkasakan akses bantuan guaman bagi kes jenayah kepada golongan kurang berkemampuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, untuk mendapatkan penilaian terbaik bagi model dan format akta itu, kajian akan meliputi perbandingan pelaksanaan peraturan seumpama itu di luar negara serta parameter penggubalannnya.

"Sebanyak 10 fakulti undang-undang daripada institut pengajian tinggi awan (IPTA) dan swasta (IPTS) di Malaysia seperti Universiti Malaya dan Universti Kebangsaan Malaysia akan terlibat dalam kajian ini.

"Kerajaan komited untuk tambah baik perkhidmatan bantuan guaman bagi kes jenayah kepada rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya pada sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung sama ada kerajaan bercadang menggubal Akta Pembelaan Awam untuk membantu rakyat kurang berkemampuan mendapat akses kepada keadilan.

Menjawab soalan tambahan Takiyuddin berhubung nasib dan peranan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) selepas akta itu digubal, Azalina menjelaskan kajian yang dilaksanakan bersama 10 fakulti undang-undang berkenaan turut meneliti fungsi YBGK.

"Buat masa ini, saya tidak boleh menjawab nasib YBGK kerana hasil sesi libat urus yang (sedang) berjalan dan kajian dengan 10 universti itu akan diberikan kepada kerajaan untuk menentukan dasar hala tuju bantuan guaman yang akan dilaksanakan

"Sama ada YBGK dihidupkan, dimasukkan atau diasingkan saya tak boleh jawab lagi... saya tunggu nasihat daripada kajian itu,” katanya. - Bernama