Usah biarkan pagar makan padi berulang

Kes rasuah di Malaysia bagaikan siri sinetron yang tiada kesudahan
Kes rasuah di Malaysia bagaikan siri sinetron yang tiada kesudahan
A
A
A

KES rasuah di Malaysia bagaikan siri sinetron yang tiada kesudahan. Malah jika ada Anugerah Sinetron Rasuah Antarabangsa, penulis skrip dari Malaysia tentu akan mendapat anugerah utama.

Dengan plot cerita yang sentiasa memberi kejutan, klimaks silih berganti seakan masing-masing bertanding mencapai rating tertinggi.

Tambah lagi, sub plot yang beranak-pinak menjadi si penulis bagaikan menerima anugerah bakat yang sangat bernilai mengalahkan skrip filem. Kita gelakkan negara orang, negara sendiri pun lebih kurang sahaja.

Begitulah gambarannya, situasi di tanah air tercinta. Malangnya, sehingga ke hari ini, tiada siapa tahu siapa yang pengatur cerita.

Walaupun watak utama silih berganti, malah adakalanya ‘pelakon’ sama juga yang diulang tayang sehingga kini belum ada yang disumbat ke bilik tirai besi.

Berdasarkan sumber daripada daripada laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), jumlah tangkapan kes dalam kalangan penjawat awam menunjukkan trend naik dari bulan ke bulan.

Bemula Mei lalu, jumlah kes tangkapan dalam kalangan penjawat awam daripada 17.39 peratus meningkat kepada 55.71peratus, tinggi sungguh dia melompat.

Lebih mengejutkan jumlah tangkapan kakitangan pengurusan profesional daripada seorang pada Mei 2021 menjadi 21 orang pada Jun 2021.

Artikel Berkaitan:

Ketua Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub menyifatkan penerima dan pengambil rasuah ibarat merampas hak rakyat.

Kejutan demi kejutan berlaku pada bulan seterusnya, bulan Julai lalu kes babitkan penjawat awam meningkat lagi kepada 56.96 peratus.

Walaupun Ogos menurun kepada 52.11peratus tetapi bulan September lalu meningkat 61.76 peratus menunjukkan peningkatan all time high.Apa sudah jadi, hampir separuh daripada kes tangkapan yang dilakukan SPRM adalah penjawat awam.

Jumlah golongan pengurusan profesional juga meningkat saban bulan menunjukkan dua angka.

Jika saham yang kita beli menunjukkan graf peningkatan sebegini, tentunya hati kembang berbunga-bunga. Mungkin dengan modal RM1,000 pada bulan Mei kini keuntungan sudah 45 peratus.

Namun graf peningkatan menaik ini menyesakkan dada, menghiris lumat harapan yang didambakan selama ini. Sakitnya hati apabila kepercayaan dikhianati.

Tebus dosa

Pada ketika rakyat marhaen merana berdepan pandemik Covid-19, ada ketua keluarga yang tidak mampu menyediakan makanan di atas meja, ada perniagaan yang terpaksa ditutup, masih ada golongan yang ‘galak’ merampas hak rakyat.

Mungkin ada yang menganggap statistik dikeluarkan SPRM tidak telus kerana badan itu sendiri juga terpalit dengan skandal rasuah baru-baru ini.

Namun, merekalah agensi yang bertanggungjawab. Usah kerana nila setitik yang merosakkan integriti kita lupa masih ada pegawai yang jujur menjalankan tugas.Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019.

Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor 53 peratus pada tahun sebelumnya.

Kata beliau, antaranya berpunca daripada kegagalan kerajaan membentangkan dan meluluskan rang undang-undang dana politik.

Akibatnya politik wang masih berleluasa ketika pilihan raya.

Jika keputusan memilih pemimpin berdasarkan pertimbangan siapa yang paling banyak beri sogokan, maka tidak hairanlah kita berdepan dengan masalah rasuah yang tiada kesudahan.

Belum pegang jawatan sudah menabur ‘dedak’ apatah lagi apabila diberi tanggungjawab mengagih dana untuk pembangunan dan kebajikan rakyat.

Justeru, Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak berapa lama lagi masih sempat untuk kita menebus dosa silam.

Marilah kita bersama, berganding bahu, bersatu hari menolak rasuah.

Jom bersama kami di bawah payung Rasuah Busters, kita banteras gejala jijik ini habis-habisan.

Hubungi kami di https://www.rasuahbusters.com/, media sosial Rasuah Busters atau talian 019-212 8523.

* Wan Normi Hasan ialah Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters