Dilema pilih cari rezeki pada usia emas atau fikirkan kesihatan

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

MEMPUNYAI pekerjaan sememangnya menyeronokkan kerana ia satu aktiviti yang mampu menjana pendapatan tidak kira sama ada kerja biasa-biasa sahaja ataupun luar biasa.

Ia tidak menjadi masalah sekiranya golongan produktif di negara ini seperti orang dewasa yang bekerja kerana masih sempurna akal dan sihat tubuh badan, namun bagaimana pula dengan warga emas?

Laporan muka depan Sinar Harian bertarikh 11 Mei mengetengahkan perihal warga emas terpaksa bekerja berbekalkan kudrat yang ada meskipun sudah memasuki usia senja dan semakin dimamah usia.

Mana tidaknya, golongan sebegini sepatutnya tidak perlu lagi bersusah payah mencari rezeki, sebaliknya beristirahat di rumah dan fokus beribadah.

Mereka seakan-akan dilema sama ada mahu terus mencari rezeki halal demi kelangsungan hidup atau memikirkan keadaan kesihatan terlebih dahulu.

Jika memikirkan tentang menjana pendapatan harian, terpaksa mengetepikan masalah kesihatan dan begitu jua sebaliknya.

Tidak dinafikan segelintir warga emas memilih untuk terus bekerja hanya kerana inginkan kepuasan diri contohnya berbakti kepada masyarakat setempat.

Lihat sahaja perkongsian salah seorang warga emas yang ditemui di Kuantan, Pahang, individu bernama Zainab Jusoh itu sudah memasuki usia 69 tahun, tetapi masih kuat bekerja sebagai tukang pam di stesen minyak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia tidak menyalahkan takdir hidup, sebaliknya bersyukur diberikan kesempatan untuk berkhidmat kepada majikan dan enggan menyusahkan orang lain terutamanya anak-anak.

Begitu juga bekas jururawat, R Ammani Kamala Bai, 68, yang sanggup berulang-alik sejauh 10 kilometer menaiki motosikal semata-mata mahu menyumbang tenaga dengan menjaga warga emas dan pesakit psikiatri di rumah orang tua di Kuala Kangsar, Perak.

Boleh dilihat bahawa kecekalan sosok bergelar ibu sememangnya tidak boleh disangkal lagi dan usia sekadar angka bagi mereka.

Berbuih mulut apabila dinasihatkan supaya berehat sahaja di rumah, bimbang juga orang di sekeliling mengata kerana membiarkan ibu-ibu bekerja di usia sebegitu.

Tetapi, anak-anak pasti faham benar dengan perangai ibu masing-masing yang sudah terbiasa bekerja sekadar mahu mengeluarkan peluh dan enggan duduk diam.

Apa pun, kudrat ‘emak-emak’ dalam mencari duit jangan dipandang remeh kerana itulah individu yang berhempas pulas memastikan rezeki sentiasa terhidang di atas meja setiap hari.

Difahamkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang dalam proses untuk menyediakan Rangka Kerja Untuk Masyarakat Penuaan khususnya dalam membantu golongan wanita berusia 60 tahun ke atas.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha tersebut dibuat sebagai persediaan menghadapi negara tua menjelang 2030 seperti mana dilaporkan menerusi unjuran statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Diharapkan rangka kerja berkenaan dapat memanfaatkan golongan wanita warga emas yang mahu kekal menyumbang kepada komuniti meskipun berdepan pelbagai masalah terutamanya berkaitan kesihatan tubuh badan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!