X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

PM kongsi konsep Keluarga Malaysia pada prapelancaran esok

Ismail Sabri- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual memberikan maklumat lebih terperinci frasa 'Keluarga Malaysia’ yang menjadi konsep Kerajaan Malaysia pimpinannya untuk bekerja bersama-sama memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19 pada Jumaat.

Prapelancaran Keluarga Malaysia itu akan disempurnakan Ismail Sabri pada majlis yang akan disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen.

Pendekatan yang julung kali disebut dalam ucapan sulung Perdana Menteri pada 22 Ogos antara lain mengajak rakyat negara ini mengetepikan perbezaan dalam menggembleng tenaga untuk memulihkan semula negara dalam merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat di negara ini bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang utuh.

Pelancaran rasmi konsep Keluarga Malaysia dijadual diadakan pada 22 Oktober di Kuching, Sarawak yang dikenali sebagai bandar raya perpaduan.

Antara hasil awal Keluarga Malaysia dalam mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan dapat dilihat menerusi Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September lepas antara kerajaan dan blok pembangkang, Pakatan Harapan.

Memorandum itu, yang pertama dalam sejarah negara, mencorak pembentukan politik lebih matang, sekali gus mempamerkan kesepakatan untuk mengetepikan agenda politik dalam usaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Kementerian Perpaduan Negara pula sedang membangunkan Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia untuk menyokong aspirasi Keluarga Malaysia bagi mencapai hasrat ditetapkan dengan menjadikan perlembagaan dan Rukun Negara sebagai teras utama dalam pembinaan masyarakat harmoni dan sejahtera.

Pengamalan nilai-nilai murni akan menjadi tunjang bagi melahirkan sebuah Keluarga Malaysia yang makmur berasaskan kepercayaan, perpaduan dan toleransi. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!