Harungi sungai dengan PPE urus jenazah pesakit Covid-19

Anggota APM dan kakitangan KKM serta JHEAINS menaiki bot untuk membawa jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Betutai yang terletak di Pulau Torong Kibing, Tuaran pada Khamis.
Anggota APM dan kakitangan KKM serta JHEAINS menaiki bot untuk membawa jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Betutai yang terletak di Pulau Torong Kibing, Tuaran pada Khamis.
A
A
A

TUARAN - Tiada laluan darat untuk ke tanah perkuburan menyebabkan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tampil memberi bantuan dengan menyediakan bot untuk pengurusan jenazah pesakit Covid-19 yang dikebumikan di Pulau Torong Kibing, di sini pada Khamis.

Difahamkan, jenazah yang dibawa mereka adalah wanita warga emas berusia 87 tahun yang meninggal dunia pada Isnin lalu dan disahkan dijangkiti Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Susulan daripada itu, ketika menyempurkan tugasan berkenaan, anggota APM Tuaran terpaksa menggunakan pakaian pelindung diri (PPE) lengkap untuk melindungi diri sepanjang tempoh perjalanan menyusuri sungai membawa jenazah terbabit ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Betutai.

Pegawai APM Tuaran, Leftenan Paulina Francis berkata, operasi membawa jenazah ke tanah perkuburan kampung berkenaan dilakukan oleh empat anggota APM bersama kakitangan KKM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

"Pesakit yang meninggal dunia pada Isnin lalu itu mahu dikebumikan di tanah perkuburan yang terletak di kawasan Pulau Torong Kibing iaitu tiga kilometer dari Kampung Betutai.

"Disebabkan tiada laluan darat ke tanah perkuburan berkenaan, pihak KKM meminta bantuan anggota APM Tuaran dengan menaiki bot bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mengulas lanjut, Paulina berkata, tugasan anggota APM tidak setakat membawa jenazah tetapi diteruskan untuk urusan pengebumian.

"Tempat pengebumian telah disediakan oleh penduduk kampung dan anggota APM membantu untuk menurunkan dan seterusnya mengebumikan jenazah sehingga urusan selesai kira-kira jam 11.30 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, beliau berkata, tugasan itu adalah antara tanggungjawab pihak APM dalam membantu pihak berkaitan bagi menyempurnakan pengurusan jenazah terutama membabitkan pesakit Covid-19.

"Sudah menjadi tanggungjawab, yang hidup akan menguruskan si mati. Itulah pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menguruskan jenazah pesakit Covid-19," ujarnya.