Pengasuh ditahan kes dera dua beradik

No Image Caption
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan kes penderaan dua beradik berusia enam dan 11 tahun di Taman Selesa Jaya di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua yang ditahan itu merupakan pengasuh kepada dua beradik berkenaan.

"Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 32 tahun itu direman bermula hari ini sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan.

"Sementara itu, dua daripada tiga individu yang ditahan polis sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru semalam iaitu B Mariamah, 60, dan anak perempuannya, R Deeba, 37.

"Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Pada Rabu, dua beradik itu dilaporkan didera dengan cara dipukul dengan rotan, getah paip, disimbah dengan air panas selain dicucuh dengan puntung rokok dipercayai perbuatan pengasuh mereka.

Kes penderaan kedua-dua beradik tersebut menjadi perhatian orang ramai selepas tular dalam media sosial.

Dzulkhairi berkata, kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu bagaimanapun ditahan di lokap di Skudai apabila masing-masing gagal membayar jaminan RM15,000 yang dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mahkamah kemudian menetapkan 24 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

"Seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu teman lelaki Deeba yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dibebaskan dengan bon jaminan serta akan menjadi saksi pendakwaan," katanya.

Beliau memberitahu, kedua-dua beradik mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ibu kepada kanak-kanak tersebut, M Vikneswari, 30, sebelum ini memberitahu, dia yang sudah kematian suami meninggalkan anaknya dalam jagaan pengasuh itu yang dikenali melalui seorang kenalannya.

Dia dilaporkan berkata, anak-anaknya ditinggalkan bersama pengasuh berkenaan sejak April lalu dengan upah RM800 sebulan.

"Sejak April lalu saya hanya bertemu dengan anak-anak sebanyak tiga kali sahaja kerana sibuk bekerja selain pengasuh memberi pelbagai alasan untuk menghalang saya bertemu mereka termasuk dikenakan kuarantin," katanya.