SelVAX sasar 75,000 remaja 12 hingga 17 tahun

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Program Vaksin Selangor (SelVAX) akan diperluaskan lagi dengan memberi fokus kepada 75,000 individu remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fokus program SelVAX untuk remaja yang memperuntukkan 150,000 dos vaksin Covid-19 itu akan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sekolah persendirian mengikut keutamaan.

Amirudin berkata, menerusi pelaksanaan itu, kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih bersasar dengan terus ke sekolah terlibat bagi memberikan suntikan berkenaan kepada pelajar.

"Kita akan tumpu kepada pelajar yang memerlukan kerana kaedah sebegini lebih cepat dan berkesan dalam memastikan tiada yang tertinggal bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19," katanya sewaktu sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada Khamis.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Program SelVAX Remaja itu akan menggunakan vaksin jenis Sinovac sebagaimana diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mereka yang mempunyai penyakit kritikal tidak dibenarkan mendapatkan suntikan berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan jadual pemberian vaksin untuk program itu dalam tempoh seminggu secara berperingkat.

"Sekolah di bawah JAIS akan diberi keutamaan dan mungkin kita juga boleh buka kepada sekolah rendah yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan: