X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Rogol pelajar: Mahkamah Tinggi tambah hukuman penjara

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Rabu mengetepikan rayuan tertuduh yang disabitkan kesalahan sebelum ini kerana merogol pelajar sebuah sekolah di Besut, dua tahun lalu
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki terpaksa meringkuk lebih lama di dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, mengetepikan hukuman penjara 10 tahun terhadapnya atas dua pertuduhan merogol seorang pelajar Tingkatan Dua dalam kejadian dua tahun lepas.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas menerima rayuan pihak pendakwaan sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Muhamad Amirul Arif Baharom, 22.

Hukuman penjara diarahkan berjalan serentak bermula pada Rabu. Bagaimanapun, Hassan mengekalkan hukuman lapan sebatan iaitu empat sebatan bagi setiap pertuduhan.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak tertuduh yang tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen Besut sebelum ini.

Pada 30 November tahun lalu, Mahkamah Sesyen Besut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan selepas tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Tertuduh yang berdepan dua pertuduhan dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan bagi setiap kesalahan, namun mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh sabitan (15 Disember tahun lalu).

Hassan mengetepikan keputusan dibuat sebelum ini dengan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan, namun mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula Rabu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun tujuh bulan di Kampung Beris Tok ku mukim Guntong, Besut pada jam 8 pagi, 27 Jun 2019.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi sama, antara jam 7 malam hingga 11 malam pada 22 Jun 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Rabi'atul Adawiah Soupy, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!