Tempoh setahun kemasukan elektrik, air ke KRC

Mahdzir (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Muhammad Sanusi selepas membuat kunjungan rasmi di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.
Mahdzir (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Muhammad Sanusi selepas membuat kunjungan rasmi di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Tempoh setahun diberikan oleh Kerajaan Negeri Kedah kepada pihak berkaitan dalam usaha memastikan bekalan elektrik dan air mencukupi di kawasan industri Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana terdapat dua syarikat menyatakan komitmen untuk melabur dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.55 bilion.

Menurutnya, tempoh diberikan itu bermula hari ini sehingga Oktober 2022 kerana mahu masalah air dan elektrik yang menjadi keperluan utama di kawasan industri tersebut diselesaikan dengan segera.

"Sebab itu nak tubuhkan jawatankuasa khas di peringkat negeri dan agensi melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Darul Aman (SADA) serta pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu ini.

"Sebelum ini saya ada tanya berapa lama nak masuk tenaga elektrik ke KRC dan dimaklumkan tempoh normal lima tahun. Sudah minta agar dipercepatkan kepada dua tahun setengah dan hari ini minta dengan semua daya usaha yang ada (kerjasama semua pihak), minta (dipercepatkan) setahun," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabat Menteri Besar Kedah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, ketika ini KRC memerlukan tenaga elektrik dan keperluan air melebihi kapasiti yang ada di Padang Terap.

Menurutnya, selain masalah tenaga elektrik dan air yang mahu diselesaikan, beliau mengharapkan proses pengambilalihan tanah juga dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, media melaporkan Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menggesa pembinaan loji rawatan dan bekalan air di tapak projek KRC perlu disegerakan untuk meyakinkan pelabur selain memastikan kemudahan asas itu siap sepenuhnya apabila projek mega itu beroperasi.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mempercepatkan pembinaan loji air terbabit bagi membolehkan dua buah syarikat yang melabur di KRC dapat memulakan operasi secepat mungkin.

Tambah Muhammad Sanusi, sewaktu pertemuan itu juga, Mahdzir membentangkan beberapa program utama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang akan dibangunkan di Kedah membabitkan kawasan luar bandar.

"Antara program utama itu adalah projek loji air di Jeniang yang dipanggil sebagai Jeniang Baru.

"Loji air ini dapat digunakan untuk membekalkan air kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab di Sik selain bagu penggunaan domestik di Daerah Sik khususnya di Jeneri," katanya.