X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Penularan Covid-19 di Langkawi hanya di kediaman pekerja hotel

Muhammad Sanusi (kanan) menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman pada Selasa.
A
A

ALOR SETAR - Penularan Covid-19 di sebuah hotel terkemuka di Langkawi tidak menjejaskan gelembung pelancongan kerana hanya membabitkan pekerja hotel berkenaan dan bukan disebabkan oleh kehadiran pelancong dari luar.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau difahamkan oleh Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo bahawa penularan pandemik tersebut berlaku di kediaman pekerja yang mana mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, penularan tersebut tidak menjejaskan gelembung pelancongan di pulau tersebut dan langkah-langkah pencegahan pandemik itu yang sepatutnya diambil telahpun dilakukan pihak berkaitan.

"Saya difahamkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri bahawa penularan Covid-19 berlaku di kediaman pekerja hotel. Pekerja-pekerja ini tidak patuh SOP dan penularan ini bukan datangnya daripada pelancong.

"Pelancongan ketika ini tidak terjejas dan kita telah mengambil tindakan yang perlu. Alhamdulillah Langkawi kembali bernafas semula," katanya ketika sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid di Pejabat Menteri Besar Kedah di sini.

Pada Isnin, media melaporkan sebuah hotel terkenal di Langkawi menghentikan operasinya buat sementara berikutan seramai 59 kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Dr Othman berkata, setakat ini seramai 249 orang telah menjalani ujian saringan dengan tiga individu masih menunggu keputusan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pada pagi Selasa, beliau juga turut menerima kunjungan Konsulat Thailand di Malaysia, Chainarong Keratiyutwong yang turut membincangkan tentang pembukaan sempadan negara membabitkan Kedah dan negara Thailand.

Sementara itu Mahdzir berkata, kementeriannya bersedia membantu aktiviti pelancongan di Kedah dengan menaik taraf pekan kecil di Tanjung Dawai, Kuala Muda bagi dijadikan destinasi pelancongan.

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tidak mempunyai masalah untuk memberi tumpuan kepada aspek berkaitan seperti naik taraf dan baik pulih jalan serta bekalan air luar bandar namun masih perlu melibatkan kerjasama kementerian lain.

"Selepas ini saya difahamkan kerajaan negeri akan berunding dengan kementerian-kementerian lain juga untuk menaik taraf Tanjung Dawai bagi menarik kedatangan pelancong ke situ," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!