Pengawal keselamatan hilang di ladang ditemui selamat

Pengawal keselamatan (tengah) selepas ditemui pasukan penyelamat kira-kira 10 kilometer daripada lokasi dirinya dilaporkan hilang di ladang Kampung Ulu Remis, Layang-Layang tengah malam Isnin
Pengawal keselamatan (tengah) selepas ditemui pasukan penyelamat kira-kira 10 kilometer daripada lokasi dirinya dilaporkan hilang di ladang Kampung Ulu Remis, Layang-Layang tengah malam Isnin
A
A
A

KLUANG - Seorang pengawal keselamatan yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ketika bertugas di ladang Kampung Ulu Remis, Layang-Layang di sini ditemui selamat oleh pasukan penyelamat tengah malam Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, mangsa Shahrizuan Pairon, 23, ditemui 10 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

“Operasi menyelamat dimulakan selepas pihak Bomba menerima laporan pada jam 8.45 pagi Isnin. Seramai sembilan anggota telah dihantar ke lokasi kejadian dengan bantuan sebuah jentera.

“Operasi turut dibantu seramai 82 orang melibatkan anggota polis, polis bantuan dan penduduk setempat dengan kawasan pencarian seluas 61 hektar,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang bertugas di ladang berkenaan dipercayai hilang oleh rakannya ketika mula bertugas pada malam Ahad.

Mohd Fauzi berkata, pencarian kemudiannya dibahagikan kepada lima pecahan kumpulan sebelum mangsa dijumpai pada jam 11.24 malam.

“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah dengan jarak lokasi dijumpai 10 kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang iaitu di kawasan Stesen Kereta Api Renggam.

“Operasi pengesanan mangsa turut dibantu oleh unit anjing pengesan (K-9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kluang untuk menerima rawatan,” katanya.

Artikel Berkaitan: