Maqis Kedah rampas pokok tanduk rusa dari Thailand

Antara pokok tanduk rusa yang berjaya dirampas oleh Maqis Kedah di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Isnin.
Antara pokok tanduk rusa yang berjaya dirampas oleh Maqis Kedah di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Isnin.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah berjaya merampas 90 pokok tanduk rusa kerana tidak memiliki dokumen yang sah dari Thailand, pada Isnin.

Jurucakap Maqis Kedah berkata, rampasan itu dibuat di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam kira- kira jam 4.27 petang selepas menahan sebuah lori.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis berjaya menemui pokok-pokok berkenaan yang disembunyikan di bawah timbunan sayur-sayuran.

"Kesemua barang dagangan terbabit dianggarkan bernilai RM4,500 dan ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kegagalan untuk mengemukakan permit import yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Maqis memberi amaran tegas kepada mana-mana pengimport supaya sentiasa mematuhi syarat import yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi memastikan produk pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan aspek biosekuriti negara terjamin," katanya.

Artikel Berkaitan: