Maritim Malaysia lupus empat bot bernilai RM90,000

Maritim Malaysia Pulau Pinang memusnahkan empat buah bot pukat rawa sorong pada Isnin.
Maritim Malaysia Pulau Pinang memusnahkan empat buah bot pukat rawa sorong pada Isnin.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang memusnahkan empat buah bot nelayan tempatan yang dilucut hak bernilai RM90,000.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua bot jenis pukat rawa sorong tersebut mendapat perintah mahkamah untuk dimusnahkan.

Menurutnya, sebanyak 11 buah bot bernilai anggaran RM300,000 akan dilupuskan pada tahun ini yang mana tujuh bot dalam proses untuk dilupuskan.

"Pada hari ini (Isnin), kita lupuskan empat buah bot dahulu.

Kita hanya musnahkan badan bot dengan jentolak dan ditanam manakala enjin bot dilelong.

"Hasil lelongan keempat-empat enjin ini yang dibuat pada 22 September lalu berjumlah RM8,500," katanya pada sidang akhbar di Tempat Tahanan Vesel Limbongan Batu Maung, di sini pada Isnin.

Katanya lagi, kesemua bot tersebut didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985.

"Empat bot tersebut dilucut hak secara berasingan iaitu pada 23 Januari 2020, 30 Disember 2020 dan 14 Januari tahun ini kerana kesalahan menggunakan pukat rawa sorong selain lesen bot nelayan tempatan kelas A telah tamat tempoh.

Artikel Berkaitan:

"Bot pukat rawa sorong adalah peralatan menangkap ikan yang dilarang kerana ia akan membawa sekali anak ikan dan pukat hanyut nelayan lain. Kita terpaksa memusnahkan bot-bot ini kerana pemiliknya melakukan perkara dilarang.

"Tujuh buah bot pelbagai jenis sedang menunggu perintah mahkamah untuk dilucut hak termasuk barang eksibit lain iaitu bubu naga dan dadah bernilai RM116.3 juta," katanya.

Ditanya mengapa badan bot tidak dilelong seperti enjin, Abd Razak berkata, badan bot boleh digunakan semula kerana ia merupakan bot fiber.

"Jika kita lelong badan bot, mereka boleh menggunakan semula dengan hanya memasang enjin baru dan kesalahan menggunakan bot pukat rawa sorong akan berterusan," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua komuniti maritim agar tidak melanggar peraturan dan undang-undang Persekutuan bagi mengelakkan tindakan tegas diambil.