Sektor swasta mungkin diwajibkan ambil vaksin: Khairy

Beberapa sektor lain termasuk swasta berkemungkinan akan turut dikenakan arahan sama.- Foto 123RF
Beberapa sektor lain termasuk swasta berkemungkinan akan turut dikenakan arahan sama.- Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan penjawat awam mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, beberapa sektor lain termasuk swasta berkemungkinan akan turut dikenakan arahan sama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, meskipun jumlah populasi dewasa yang masih belum menerima vaksin sangat kecil, beberapa langkah sedang dilaksanakan bagi memastikan kadar vaksinasi ditingkatkan lagi.

“Ada beberapa langkah yang sedang dilaksanakan di peringkat sektor-sektor tertentu untuk memastikan kadar vaksinasi ini dapat ditingkatkan untuk meliputi semua.

“Contohnya kenyataan JPA mengenai pengambilan vaksin Covid-19 secara mandatori kepada penjawat awam dan selepas itu beberapa sektor lain termasuk swasta mungkin akan disyaratkan vaksinasi.

“Untuk yang masih tegar tidak mahu menerima vaksin, kita telah umumkan bahawa beberapa kebebasan hanya akan diberi kepada mereka yang telah menerima vaksin lengkap,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Untuk rekod, mengikut data terkini CovidNow KKM, sebanyak 94.3 peratus daripada golongan dewasa di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama dan 87.6 peratus telah menerima lengkap dua dos.

Khairy juga memaklumkan, KKM akan memuat naik maklumat berkenaan kesan sampingan yang serius akibat pengambilan vaksin Covid-19 di laman web KKM pada Isnin.

“Setakat ini tidak ada satu pun kematian disebabkan vaksin Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Khairy berkata, kerajaan tidak pernah menafikan hak pengambilan vaksin kepada semua penduduk di negara ini termasuk golongan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan dan juga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang hadir di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Sebab yang penting sekarang ini bukan tentang status mereka tetapi tentang kepentingan kesihatan awam, sebab itu kita utamakan vaksinasi semua,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) yang bertanya bagaimana golongan yang tidak mempunyai dokumen dan PATI boleh mendapatkan vaksin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau itu turut memberi jaminan bahawa mana-mana individu yang tidak mempunyai peranti digital boleh menggunakan kad vaksinasi fizikal yang diterima setelah menerima suntikan vaksin.

“Sekiranya kad fizikal hilang, boleh tampil ke mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk kita lihat prosedur bagaimana untuk gantikan kad tersebut,” katanya.