Kerajaan Sarawak digesa campur tangan

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA) meminta kerajaan negeri campur tangan berhubung keputusan Petronas memberi kontrak kepada sebuah syarikat di luar Sarawak bagi kerja-kerja bukan khusus di pesisir pantai negeri itu.

Dalam kenyataan pada Ahad, Presiden, Datuk Rahman Lariwoo berkata, salah seorang ahlinya yang turut membida bagi kerja-kerja pembekalan bahan letupan alternatif serta mengecat untuk Petronas Carigali, mendapati kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada sebuah firma yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

“Kontrak itu melibatkan kerja penyediaan peralatan, tenaga kerja serta barangan keperluan untuk tugas letupan alternatif di kawasan pesisir pantai Sarawak.

“Skop ini bukannya tugas sukar (tidak memerlukan kepakaran tinggi) dan ada banyak syarikat-syarikat Sarawak yang boleh menawarkan perkhidmatan itu,” katanya.

Rahman berkata, tanpa campur tangan kerajaan negeri Sarawak, syarikat-syarikat negeri itu yang terbabit dalam industri minyak dan gas akan kecewa kerana telah berusaha meningkatkan kemahiran bagi mendapat layanan adil daripada Petronas.

“Penganugerahan tender tersebut tidak selari dengan objektif kerajaan negeri Sarawak untuk mewujudkan lebih banyak syarikat-syarikat negeri ini yang terbabit dalam industri minyak dan gas,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: