Peluang buru ikan asing termasuk piranha di Empangan Klau

KUANTAN - Orang ramai khususnya pemancing dan komuniti nelayan darat berpeluang menyertai Program Mitigasi Spesies Ikan Asing Negeri Pahang 2026 di Empangan Klau, Raub pada 24 dan 25 Oktober ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Pejabat Perikanan Negeri Pahang memaklumkan program anjuran Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dibuka secara percuma kepada mereka yang berminat.
Menurutnya, usaha itu bagi menyokong usaha pemuliharaan sumber perikanan serta mengawal spesies ikan asing yang berpotensi mengancam ekosistem perairan tempatan.
"Antara spesies yang dilaporkan menjadi sasaran kawalan ialah Peacock Bass, Zebra Tilapia (Tilapia zebra) dan piranha yang disyaki berada di perairan Empangan Klau, " menurut hantaran tersebut.
Program itu menawarkan dua kategori penyertaan iaitu menjaring serta menjala dan memancing.
Bagi kategori menjaring, pendaftaran dan aktiviti memasang jaring bermula jam 8 pagi pada Sabtu manakala peserta dibenarkan mengangkat jaring masing-masing pada Ahad.
Sementara itu, pendaftaran bagi kategori menjala dan memancing dibuka pada jam 8 pagi, Ahad, 25 Oktober.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian dengan mengimbas kod QR mengikut kategori pilihan pada poster rasmi yang dimuat naik di laman Facebook berkenaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua penemuan ikan yang disyaki piranha dilaporkan di kawasan Empangan Klau dan Sungai Klau, Raub, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kehadiran spesies asing itu di perairan berkenaan.
Bagaimanapun, Jabatan Perikanan Malaysia memaklumkan pengesahan spesies masih memerlukan pemeriksaan fizikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

