SPRM, USM perkukuh agenda antirasuah menerusi kerjasama strategik

GEORGE TOWN – Kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) diperkukuh menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasa agenda antirasuah dan integriti di institusi pengajian tinggi (IPT).
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, latihan kepakaran bersama, penyelidikan saintifik serta perkongsian data empirikal bagi menganalisis trend rasuah dan menilai keberkesanan tadbir urus.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, kolaborasi berkenaan membuka ruang lebih luas kepada pembangunan modul akademik, penyelidikan dan pelaksanaan program kesedaran yang memberi impak kepada masyarakat.
Menurutnya, gabungan kepakaran akademik dan pengalaman penguatkuasaan mampu membantu membentuk ekosistem organisasi yang lebih telus sekali gus memperkukuh usaha membanteras rasuah secara menyeluruh.
“SPRM melihat kerjasama ini sebagai platform terbaik untuk menyatukan kepakaran akademik dan kekuatan penguatkuasaan bagi melahirkan ekosistem organisasi yang telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Program Certified Professional in Integrity Assurance and Management (CPIAM) 2026 serta Majlis Menandatangani MoU antara USM dan SPRM di Dewan Persidangan Universiti, USM, di sini pada Selasa.
Azmi menambah, MoU itu bukan sekadar melambangkan hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi sebaliknya mencerminkan komitmen bersama dalam membina benteng pertahanan antirasuah yang lebih kukuh.
"Graduan perlu ingat bahawa sijil profesional yang diperoleh membawa tanggungjawab besar dalam memastikan prinsip integriti diterjemahkan melalui amalan kerja dan tadbir urus yang baik.
"Usaha memerangi rasuah memerlukan pendekatan menyeluruh atau Whole-of-Society yang menuntut penglibatan aktif setiap institusi dan lapisan masyarakat," ujarnya lagi.
MoU berkenaan ditandatangani Azmi dan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Ahmad Nizam Ismail bagi pihak SPRM manakala USM diwakili Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed dan Penasihat Undang-Undangnya, Datuk Dr Khairul Anuar Che Azmi.
Majlis itu turut disaksikan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Profesor Dr Hasliza Abdul Halim serta Presiden ACeIO, Datuk Ahmad Sabri Mohamed.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Datuk Dr Azlan Amran, Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, TPj Lim Bee Kean, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim dan Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, program CPIAM berupaya membina serta memperkukuh budaya integriti dalam organisasi menerusi pendekatan praktikal.
Menurutnya, pembudayaan integriti perlu bermula di kampus bagi melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah mempunyai keberanian untuk menolak rasuah.
“Budaya integriti yang bermula di kampus mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang daripada sudut akademik malah berani menolak rasuah.
“Teruskan usaha menyumbang kepada tadbir urus dan pembudayaan integriti di Malaysia,” katanya.
Pada majlis berkenaan, seramai 44 graduan menerima sijil profesional CPIAM 2026 sekali gus melengkapkan siri keenam program pensijilan berkenaan.
Program yang dibangunkan Pusat Pengajian Pengurusan USM dengan kerjasama Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) sejak 2023 itu telah melahirkan lebih 150 profesional kompeten daripada agensi awam dan swasta di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


