Bunuh 11 penyu, bukan kerja orang tempatan

Pasukan PGA turut menemui dua karung berisi isi penyu yang sudah dimasak, bangkai penyu dan peralatan memasak. - Foto: PGA
Pasukan PGA turut menemui dua karung berisi isi penyu yang sudah dimasak, bangkai penyu dan peralatan memasak. - Foto: PGA
A
A
A

KOTA KINABALU - Pembunuhan 11 penyu hijau yang berlaku di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna dipercayai bukan dilakukan oleh penduduk tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, perbuatan kejam terhadap haiwan reptilia yang berlaku di kawasannya amat menyentuh jiwa.

"Saya mendapat tahu mengenai perkara ini semalam dan baru dua hari lalu saya berada di Pulau Bum-Bum iaitu tidak jauh dari lokasi bangkai penyu itu ditemui.

"Saya yakin ia bukan perbuatan orang tempatan kerana orang tempatan tidak makan isi penyu. Saya juga lahir di pulau, tidak makan daging penyu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung penemuan 11 bangkai penyu di dalam kawasan beliau di Pulau Bum-Bum, Semporna.

ARTIKEL BERKAITAN: 11 penyu hijau dibunuh, terdapat kesan dilapah dan dimasak

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa menyiasat perkara itu sehingga ke akar umbi.

"Saya yakin ini bukan kali pertama, tetapi 11 ekor itu banyak dan saya sangat sedih. Ini khazanah dunia, Semporna dikenali disebabkan haiwan ini juga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Jaujan berharap masyarakat setempat termasuk pimpinan peringkat kampung sentiasa peka dan membuat laporan jika terdapat kejadian sedemikian.

"Orang awam dan pimpinan akar umbi perlu memainkan peranan jika ada maklumat, harus segera laporkan kepada pihak berkuasa.

"Kita ada Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tabung Hidupan Liar (WWF) dan lain-lain, maklumkan kepada mereka.

"Kita perlukan kerjasama daripada semua pihak dan jangan bergantung kepada kerajaan dalam usaha memelihara penyu ini," katanya.

Sebelum itu, sebanyak 11 bangkai penyu hijau ditemui pada Sabtu di perairan berkenaan menerusi Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Bangkai penyu ditemui mereput serta terburai, manakala isinya dimasak dan dikumpulkan serta dimasukkan ke dalam karung.