Penduduk rugi RM200,000 tanaman musnah diserang gajah

Penduduk Kampung Sungai Bayu Baru melihat pokok kelapa yang diserang tiga ekor gajah liar dalam kejadian terbaru awal pagi semalam di Sungai Bayu Baru hari ini. Foto Bernama
Penduduk Kampung Sungai Bayu Baru melihat pokok kelapa yang diserang tiga ekor gajah liar dalam kejadian terbaru awal pagi semalam di Sungai Bayu Baru hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk di Kampung Sungai Bayu Baru, di sini mendakwa kerugian hampir RM200,000 selepas sekumpulan tiga ekor gajah liar memusnahkan tanaman mereka dalam tempoh dua bulan ini.

Kejadian terbaharu berlaku awal pagi Ahad dan pagi Sabtu apabila tanaman kelapa sawit, kelapa, pisang, durian dan tembikai habis dimusnahkan malah lebih membimbangkan haiwan tersebut dikesan semakin menghampiri kawasan kediaman penduduk.

Seorang pekebun, Mohd Faizul Isma Che Adam, 36, berkata, beliau antara penduduk yang terkesan dengan kejadian tersebut dan kini kerugian besar memandangkan kesemua tanaman yang musnah itu sudah mengeluarkan hasil.

"Pagi semalam (Sabtu) kami terkejut melihat pokok sawit, kelapa dan pisang tumbang berselerak diserang sekumpulan gajah terbabit yang dipercayai berlaku antara 1 dan 5 pagi.

"Sejak kumpulan gajah itu berkeliaran di kawasan kampung, kebanyakan penduduk takut untuk keluar ke kebun malah kami pernah beberapa kali tersempak dengan haiwan berkenaan yang sedang memusnahkan pokok pisang," katanya ketika ditemui di kebunnya di sini pada Ahad.

Mohd Khairi Mohamad, 34, pula berkata, selain serangan terhadap tanaman, penduduk juga bimbang keselamatan anak-anak yang masih kecil kerana gajah terbabit kerap berkeliaran berhampiran rumah tanpa mengira masa.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan bagi menghalau gajah terbabit termasuk membakar tayar tetapi keadaannya tidak berubah malah haiwan itu semakin kerap menghampiri rumah.

"Saya ada dengar bunyi gajah kira-kira 12 tengah malam tadi tetapi tidak berani untuk keluar rumah bagi melihat keadaan sebenar berlaku kerana bunyinya terlalu hampir yang cukup menakutkan.

Artikel Berkaitan:

"Kami amat berharap pihak yang berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah gangguan gajah ini,” katanya. - Bernama