Melayu akan jadi minoriti jika terus berpecah, rebut kuasa

Datuk Rosol Wahid
Datuk Rosol Wahid
A
A
A

HULU TERENGGANU - Orang Melayu akan menjadi kumpulan minoriti sekiranya terus berdepan dengan perpecahan dan perebutan kuasa dalam kalangan ahli politik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, situasi itu dapat dilihat melalui pembentukan sehingga lima buah parti terdiri dalam kalangan Melayu Islam.

"Pada saya, apa yang harus kita lakukan buat masa ini ialah kembali kepada memperkasakan bangsa. Pas, Bersatu dan UMNO adalah parti Melayu Islam.

"Kalau kita berbalah fasal 'titik bengik', berebut kerusi sebab nak jadi wakil rakyat saya rasa itu perkara remeh kerana matlamat utama kita ialah perpaduan ummah," katanya ketika ditemui media selepas melawat projek ternakan kelulut di Kampung Machang, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Rosol meluahkan keyakinan parti Melayu mampu mendapat sokongan lebih 23 kerusi Parlimen jika dapat mewujudkan satu kesepakatan.

"Walau kita ramai, kalau kita berpecah, saya yakin kita (Melayu Islam) akan kalah. Tetapi, jika kita berpadu dan bersatu kita boleh menang," katanya ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin Pas yang kekal dengan prinsip ingin menjadi 'pendamai' antara UMNO dan Bersatu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Hulu Terenganu itu secara peribadi mengakui menyokong cadangan supaya mana-mana menteri yang tidak kompeten dan gagal menjalankan tugas disingkirkan daripada kabinet.

"Secara peribadi, saya setuju kerana kita lebih kepada pencapaian kerana pencapaian ini menunjukkan kita ini berkesan atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Tidak perlu tunggu pada satu tarikh untuk menilai, mana yang tidak tidak menunjukkan prestasi, kita minta undur diri kerana sekarang rakyat selalu sensitif, rakyat boleh menilai apa sahaja tindakan yang kita buat.

"Selain itu, mana-mana menteri yang menimbulkan masalah kepada kerajaan termasuk pegawai juga wajar diambil tindakan dan beri laluan kepada individu lain yang boleh berkhidmat dengan lebih baik," katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan berkata, mana-mana menteri yang tidak cekap atau terlibat dalam kegiatan bertentangan undang-undang tidak layak menyertai Jemaah Kabinet dan berkhidmat kepada negara.

-ENDS-