Perketat SOP

Laporan Sukan Sinar sebelum ini. GAMBAR KECIL: Pekan
Laporan Sukan Sinar sebelum ini. GAMBAR KECIL: Pekan
A
A
A

KESELAMATAN penyokong perlu menjadi keutamaan kepada semua pihak selepas kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium untuk menyaksikan aksi Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat perlu difikirkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi mengelakkan kebenaran yang diberikan kali ini dicemari dengan wujud kes Covid-19 dalam kalangan penyokong yang hadir ke stadium.

"Sebelum ini kerajaan sudah membenarkan penyokong hadir ke stadium, tetapi kemudiannya dihentikan bukan kerana ada kes Covid-19 dalam kalangan penyokong yang hadir ke stadium pada ketika itu. Sebaliknya kerana kes Covid-19 di negara ini pada ketika itu sangat tinggi. Tiada isu membabitkan penyokong ketika itu.

"Namun, kita tidak boleh lalai dan saya mengharapkan SOP dan pemantauan lebih ketat perlu dilakukan oleh MFL bagi mengelakkan wujud kluster membabitkan penyokong dan memberikan kesan kepada pandemik di negara ini.

"Walaupun syarat untuk masuk ke stadium itu antaranya adalah untuk yang lengkap dua dos vaksin, tetapi kita juga perlu lebih berjaga-jaga apatah lagi banyak varian-varian baharu dan kes di seluruh negara masih tinggi.

"Tetapi, jika ada satu atau dua kes membabitkan penyokong, jangan ditarik balik pula kebenaran itu. Saya harap ia ditangani 'case by case'," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Rabu, kerajaan membenarkan penyokong untuk hadir ke stadium dengan syarat telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Untuk rekod, perlawanan terakhir yang berlangsung dengan kehadiran penonton di stadium pada 9 Mei lalu membabitkan perlawanan Liga Super keenam sehingga ke-13.

Artikel Berkaitan:

Pihak kerajaan ketika itu telah membenarkan kemasukan penyokong berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat yang mana hanya 10 peratus dari kapasiti stadium atau 2,000 penonton dibenarkan, dan 25 peratus atau 8,000 orang dibenarkan bagi kawasan PKP Pemulihan.

Dalam pada itu, Pekan menyambut baik kebenaran yang diberikan oleh kerajaan yang memahami penyokong bola sepak di negara ini sudah dahagakan untuk kembali ke stadium menyokong pasukan kesayangan mereka.

"Kebenaran ini menggembirakan penyokong dan pasukan kerana ia akan menambahkan kemeriahan piala paling berprestij ini apatah lagi tahun ini juga adalah edisi ke-100 penganjuran piala tersebut.

"Selain itu, ia memberikan kelegaan terutama kepada pengurusan kelab kerana apa yang paling penting di sini juga ialah mereka sangat memerlukan sokongan kewangan daripada segi kemasukan penonton dan penaja.

"Jika ada penonton masuk, maka akan ada impak besar terutama untuk menarik penaja dan akan memberikan sedikit suntikan kewangan kepada kelab. Jadi kebenaran ini walaupun dengan kemungkinan kapasiti kali ini sekitar 50 peratus, tetapi ia tetap melegakan pasukan," katanya.