Tujuh individu ditahan, kes tipu tawar pekerjaan dalam talian

Noor Dellhan Yahaya
Noor Dellhan Yahaya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tujuh individu termasuk dua wanita yang disyaki terlibat dalam kes penipuan yang menawarkan pekerjaan secara dalam talian ditahan di sebuah premis di Jalan Ampang, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 18 hingga 26 tahun.

"Lima individu warga tempatan terdiri daripada empat lelaki, seorang wanita serta seorang lelaki dan wanita warga asing ditahan dalam serbuan itu.

"Kita turut merampas 53 unit telefon bimbit dan lima komputer riba pelbagai jenama," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Noor Dellhan berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi selama hampir sebulan.

"Setakat ini mangsa penipuan dalam talian ini masih belum dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, kesemua individu itu ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terperdaya dengan mana-mana panggilan telefon daripada individu yang menawarkan pekerjaan secara dalam talian dengan tawaran gaji yang lumayan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi ditalian 03-2600 2222," katanya.