Jangan salah tafsir slogan Keluarga Malaysia: MTEM

Kenyataan MTEM pada Jumaat. (Gambar kecil: Abdul Halim)
Kenyataan MTEM pada Jumaat. (Gambar kecil: Abdul Halim)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) meminta Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) tidak menyalahtafsirkan slogan Keluarga Malaysia dengan mendakwa ia isyarat untuk menggagalkan agenda ekonomi bumiputera.

Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata, FMFF membuat dakwaan bertujuan melaga-lagakan keluarga bumiputera dengan bukan bumiputra menerusi tuduhan yang tidak adil.

Beliau berkata, ia seolah-olah golongan bumiputera mahu mencuri hak dan kekayaan bukan bumiputera.

“Dakwaan daripada FMFF yang mengatakan ada desakan kepada kerajaan untuk memaksa pemegang saham bukan bumiputera untuk menjual (divest) saham mereka kepada bumiputera adalah tohmahan yang tidak berasas, tidak masuk akal, berniat jahat serta memutar belitkan fakta dan cuba mengeruhkan hubungan sesama kaum.

“Kenapa perlu mereka mendesak jika sudah miliki 51 peratus ekuiti? Dakwaan sebegini wajar dikenakan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

FFM dalam satu surat sebelum ini mengkritik keras dasar tindakan afirmatif yang dipersetujui sejak sekian lama berkenaan dasar pemilikan ekuiti 51 peratus.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, pihaknya turut menyangkal kenyataan tersebut yang menghina Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan hak-hak bumiputera.

Menurutnya, ia tidak melibatkan perniagaan pengelola atau fret (freight forwarder) tapi hanya syarikat ejen penghantaran yang menjalankan aktiviti pembrokeran kastam.

Artikel Berkaitan:

“Dasar ini telah dipersetujui sejak DEB diperkenalkan pada tahun 1971.

“Ia adalah sebuah tindakan afirmatif untuk membantu meningkatkan penglibatan bumiputera dalam sektor logistik dan ia juga selari dengan Artikel 153 perlembagaan," katanya.

Tambah beliau, terdapat pelbagai lesen yang diperlukan dalam sektor logistik tetapi hanya satu lesen sahaja iaitu Lesen Ejen Penghantaran yang memerlukan 51 peratus ekuiti bumiputera.

“Lesen-lesen pergudangan, pengangkutan, perkapalan, ejen kargo udara, pengangkutan darat, perkhidmatan lori rentas sempadan, depot simpanan kontena kosong, pengangkutan kontena, perkhidmatan logistik keseluruhan, lesen logistik bersepadu (ILS), storan berikat, pergudangan di kawasan yang diwartakan oleh Kementerian Kewangan (MoF) atau Kementerian Pengangkutan (MOT tidak disyaratkan untuk dimiliki 51 peratus oleh bumiputera.

“Malah lesen tersebut boleh diperolehi oleh syarikat seratus peratus bukan bumiputera," jelas beliau.